suria

PAS Tidak Akan Sertai Perhimpunan Sejuta Umat - Hadi Awang

KUALA LUMPUR: PAS mengikuti jejak rakannya dalam pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak menyertai Perhimpunan Sejuta Umat yang dijadualkan Sabtu ini di Shah Alam, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata biro politik yang bermesyuarat malam semalam telah memutuskan untuk tidak terlibat dalam perhimpunan tersebut memandangkan ia tidak melibatkan parti-parti politik selain menghormati kehendak penganjur program.

"PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama.

"Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan.

Perhimpunan anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang dikenali sebagai Himpunan Pertubuhan-Pertubuhan Islam (HIMPUN) adalah bagi menghantar mesej kepada pelbagai pihak mengenai isu-isu memurtadkan umat Islam di negara ini.

Abdul Hadi berkata agenda menyelamatkan aqidah merupakan agenda murni tetapi ia mesti diurus dengan cara berhemah. PAS menyokong segala usaha memantapkan aqidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan aqidah umat Islam. "PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai," tambahnya. -BERNAMA

Artikel Lain