suria

Keluarga Minta Kerajaan Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat Kematian Sarbaini

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menubuhkan Suruhanjaya Diraja dengan kadar segera bagi menyiasat kes kematian Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbaini Mohamad yang ditemui mati di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada 6 April lepas.

Sepupu Ahmad Sarbaini, Makhtar Mansor, 53, mewakili keluarga Allahyarham berkata permintaan itu dibuat kerana pihak keluarga tidak dapat menerima keputusan daripada Mahkamah Koroner pada 29 Sept lepas yang memutuskan kematian Allahyarham disebabkan nahas.

Beliau berkata pihak keluarga akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menuntut penubuhan suruhanjaya itu, pada Khamis.

"Keluarga arwah langsung tidak dapat menerima keputusan itu. Kami percaya terdapat 'foul play' dalam kes kematian arwah dan kami mahu suruhanjaya ini menyiasat semula kes ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Turut hadir bapa Ahmad Sarbaini, Mohammad Itam Taib, 73, dan ibu Allahyarham Aishah Abdul Raof, 73, serta anggota keluarga yang lain.

Makhtar berkata antara sebab pihak keluarga menolak keputusan itu ialah terdapat keterangan daripada pakar polis tidak mempertikai rakaman CCTV selama 22 jam dipadamkan seseorang yang mempunyai kemahiran.

"Sukar dipercayai arwah yang pergi ke pejabat SPRM secara sukarela kemudian kononnya cuba meninggalkan pejabat itu melalui tingkap di tingkat tiga dan terdapat keterangan pegawai SPRM bertindak agresif terhadap arwah termasuk merampas telefon bimbitnya.

"Kami sekeluarga mahu keadilan dan siasatan yang telus terhadap kematian arwah. Kami mahu membersihkan nama arwah dengan siasatan yang adil dan telus daripada suruhanjaya ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain