suria

Himpun Tidak Babitkan Parti Politik

KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (Himpun) berkata perhimpunan di Stadium Shah Alam Sabtu ini, tidak membabitkan mana-mana parti politik kerana ia tidak ada kaitan dengan politik.

Pengerusi Bersama Himpun, Dr Mohd Yusri Mohamad berkata,pihaknya mengelak parti politik daripada menjadi penganjur perhimpunan itu kerana tidak mahu masyarakat menganggap ia sebahagian daripada agenda politik.

"Perhimpunan ini bertujuan memperjuangkan akidah umat Islam untuk menjamin kestabilan agama bagi jangka masa yang panjang serta memastikan penganut agama lain memahami perjuangan Islam.

"Bagaimanapun, ahli-ahli parti politik tidak dilarang untuk datang memberi sokongan sebagai sebahagian umat Islam dalam menjayakan perhimpunan ini," katanya pada sidang akhbar Himpun di pejabatnya di sini, Khamis.

Dr Mohd Yusri berkata, perhimpunan bertemakan 'Selamatkan Akidah' dan dijangka disertai 3,000 anggota badan bukan kerajaan, merupakan inisiatif pelbagai lapisan masyarakat dalam mempertahankan akidah umat Islam yang kian meruncing.

"Penganut agama lain juga dipelawa menyertai perhimpunan ini bagi mendapatkan pemahaman yang jelas mengenai Islam, dan kami berharap tidak timbul sebarang salah faham di kalangan mereka mengenai Islam.

"Kita tidak akan sentuh sensitiviti agama lain dalam menyampaikan mesej tentang isu murtad," katanya.

Dr Mohd Yusri berkata perhimpunan mulai 2 petang hingga 6 petang itu akan diadakan secara aman kerana Himpun sudah mendapat permit polis.

Beliau berkata, perhimpunan itu bertujuan mengajak umat Islam berhimpun bagi menolak murtad serta menyeru mereka agar tidak melayan tanggapan negatif mengenai Islam. - BERNAMA

Artikel Lain