suria

Dadah Bernilai RM200j Dirampas Sejak Januari

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM201 juta dan menangkap 132,851 orang berhubung pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam tempoh 10 bulan sejak Januari tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, rampasan terbanyak membabitkan dadah jenis syabu seberat 679.34 kilogram bernilai RM170 juta.

"Turut dirampas dadah jenis heroin pelbagai gred dengan berat keseluruhan 470.22 kilogram bernilai lebih RM15 juta serta hampir dua juta biji pil Eramin 5 dengan nilai kira-kira RM1.4 juta," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Noor Rashid berkata, antara yang ditangkap ialah 119 orang termasuk warga asing yang diberkas di lapangan terbang antarabangsa kerana cubaan membawa masuk dadah.

Warga Iran mencatat bilangan tertinggi dengan 53 orang, diikuti Nigeria dengan 43 orang.

"Sebahagian mereka (warga asing) yang ditangkap ini adalah pelajar, pelancong dan mereka yang bekerja di negara ini di mana mereka diupah untuk membawa masuk dadah dari negara asal mereka.

"Sindiket ini akan mendekati mereka yang balik bercuti ke negara asal sebelum menawarkan ganjaran tertentu jika mereka berjaya menyeludup dadah sekembalinya ke negara kita semula," kata Noor Rashid. - BERNAMA

Artikel Lain