suria

Cyberjaya Rancang Pembangunan Bernilai RM3.7 Bilion Tahun Depan

CYBERJAYA: Bandar ini yang merupakan bandar siber utama Malaysia, merancang pembangunan bernilai RM3.73 bilion tahun depan, yang boleh dijayakan menerusi jualan tanah kediaman, perusahaan, komerisl dan institusi.

Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, Hafidz Hashim berkata, bandar raya itu sudah meningkatkan keluasan tanah yang dijual pada 2010 sebanyak tiga kali daripada 81.532 hektar pada RM404.3 juta kepada 258.52 hektar bernilai RM1.23 bilion pada 2011, menjadikan jumlah pelaburan di Cyberjaya bagi pada 2011 kepada RM3.04 bilion.

Syarikat itu ialah pemilik tanah dan pemaju induk pembangunan Cyberjaya.

Hafidz berkata, hartanah kediaman akan terus mendominasi, dengan hampir 70 peratus daripada nilai jualan, manakala projek komersil menyumbang 15 peratus dan selebihnya daripada pembangunan perusahaan, institusi, industri ringan dan pembangunan bercampur.

Tahun depan, hampir 49 hektar tanah dengan 2,500 unit rumah rumah bertanah dan apartmen akan didirikan, termasuk 794 apartmen yang dimajukan menerusi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Pembinaan akan bermula pada pertengahan tahun depan, selepas semua kelulusan perlu diperoleh, kata Hafidz.

"Harga seunit projek PR1MA ditetapkan mengikut pengumuman kerajaan, bergantung kepada saiz. Bagi semua unit yang tidak termasuk dalam PR1MA, harga melebihi RM300,000 seunit, namun kami menyasarkan harganya lebih rendah daripada nilai pasaran," katanya kepada pemberita pada taklimat mengenai perkembangan terkini Cyberjaya.

Infrastruktur seperti rumah kedai, surau, dewan komuniti, pengangkutan, tanam permainan dan kemudahan lain, juga akan dibina di kawasan itu, katanya.

"Pemaju dan pembeli kini memahami kami berada di tengah-tengah, antara KLIA dan pusat bandar Kuala Lumpur, dan Putrajaya, bersebelahan Cyberjaya. Semua lebuh raya bersambung ke sini," katanya.

Bagi tempoh dua hingga tiga tahun, sejumlah 7,488 unit tambahan yang mampu menampung 32,000 penduduk, akan siap, katanya dan menambah sebuah pusat komersil seluas 57 hektar akan dimajukan di Cyberjaya dalam tempoh 15 tahun dengan nilai pembangunan kasar yang dianggarkan RM8 bilion hingga RM10 bilion.

"Kami sudah memanggil tender untuk merangka pelan induk terbaik dan projek-projek komersil. Ini akan menaikkan Cyberjaya ke tahap baharu," katanya.

Cyberjaya berjaya menarik 35 syarikat multinasional dan pelbagai badan dunia seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang berpindah ke Cyberjaya dari Geneva, dan Program Pembangunan Bangsa Bersatu.

Setakat ini, 27 peratus tanah di Cyberjaya sudah siap dibangunkan, 13 peratus dalam pembinaan dan 31 peratus dalam perancangan, menjadikan hanya 29 peratus sahaja kawasan lagi yang belum dimajukan. - BERNAMA

Artikel Lain