suria

Culik Pengurus Insurans: Enam Termasuk Remaja Perempuan Bawah Umur Diberkas

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan enam individu, termasuk remaja perempuan berumur 14 tahun, bagi membantu siasatan kes penculikan seorang Pengurus Insurans di Batu Caves Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, remaja perempuan itu ditahan di sekitar Kepong antara 11 malam hingga 12 tengah malam pada hari kejadian.

Beliau berkata, mangsa diculik pada 8 pagi berhampiran sebuah sekolah di Taman Medan Batu Caves oleh tiga lelaki yang bersenjatakan parang dan menaiki sebuah kereta.

Katanya, selepas itu, isteri mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki meminta wang tebusan sebanyak RM350,000 bagi membebaskan suaminya pada hari yang sama.

Bagaimanapun, mangsa kemudian dibebaskan dalam keadaan selamat pada hari berkenaan dan tidak ada wang tebusan dibayar kepada penculiknya.

Mohd Adnan berkata, seorang daripada lima suspek lelaki yang ditahan memiliki rekod jenayah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, mereka ditahan reman sehingga 25 Oktober dan kes disiasat mengikut Akta Culik 1961.

Katanya, polis turut merampas tujuh telefon bimbit dan dua buah kereta. - BERNAMA

Artikel Lain