suria

Buruh Terbunuh Terjun Sungai Bila Panik Nampak Polis

MARANG: Seorang buruh dipercayai penagih dadah mati lemas setelah bertindak terjun ke dalam sungai di Kampung Tasik, Jambu Bongkok di sini, Khamis setelah terkejut dengan kehadiran polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata dalam kejadian kira-kira 6 pagi, mangsa Mohd Zulkifli Mohd Zahari, 20-an, dan dua lagi rakannya berada di tempat kejadian dan disebabkan terkejut dengan kehadiran polis, dua daripada mereka bertindak terjun ke dalam sungai.

Beliau berkata, seorang daripada mereka berjaya menyeberangi sungai manakala mangsa pula gagal menyeberang lalu lemas.

Panik dengan kejadian yang menimpa rakan mereka, seorang lagi rakan yang berada di darat bertindak menahan van pasukan narkotik dan memaklumkan mengenai kejadian itu, katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Roslan berkata, ketika itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Marang yang diketuai Sub Insp Razali Daud bersama empat anggota melakukan rondaan di kawasan itu setelah menerima maklumat berkaitan aktiviti penagihan dadah.

"Kita menahan rakan mangsa yang berada di darat manakala seorang lagi suspek yang berjaya menyeberangi sungai turut tampil menyerah diri tidak lama selepas itu," katanya.

Gerakan mencari dan menyelamat kemudian dilakukan oleh unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan dibantu oleh Jabatan Pertahanan Awam dan polis.

Katanya, mayat mangsa berjaya ditemui 5.22 petang kira-kira 100 meter dari tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain