suria

BMW Bawa Masuk Model Hibrid Dua Tahun Lagi

KUALA LUMPUR: Kumpulan BMW Malaysia merancang membawa masuk model hibrid dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Pengarah Urusannya Geoffrey Briscoe.

Beliau berkata, antara model itu ialah hibrid tiga dan 5-Siri, berdasarkan penerimaan pasaran terhadap model bukan hibrid, yang menyumbang kira-kira 80 peratus jumlah jualan.

"Kami juga akan membawa masuk hibrid 7-Siri, namun model utama ialah 3 dan 5-Siri," katanya pada pelancaran pameran BMW EfficientDynamics, di sini Khamis.

Timbalan Perdana Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan, merasmikan acara itu.

Briscoe berkata, keputusan sama ada BMW akan memasang model-model terbabit di ini, bergantung kepada insentif yang ditawarkan oleh kerajaan serta penerimaan pasaran.

"Ia tidak mungkin pada peringkat ini meskipun 90 peratus kereta kami dipasang di sini," katanya.

Beliau berkata, sehingga harga turun dan kaedah mengeluarkan kereta yang lebih cekap di sini ditemui, BMW tidak dapat memasangnya di sini.

Pameran itu mengetengahkan kenderaan konsep ActiveE, kereta elektrik penuh berasaskan BMW 1-Siri.

Kenderaan itu dibangunkan oleh BMW bagi memajukan dan memperkenal kenderaan elektrik yang berdaya maju dalam pasaran menjelang 2013. -BERNAMA

Artikel Lain