suria

ASP Didakwa Cederakan Bekas Isteri

KLANG: Seorang anggota polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas tuduhan mencederakan bekas isterinya, dua tahun lalu.

Azhar Abu Bakar, 35, mengaku tidak bersalah terhadap saman jenayah tersebut yang dibacakan di hadapan Majistret Azlinda Mohd Sharif.

Dia yang merupakan pengawai penyiasat kanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Jalan Patani, Georgetown, Pulau Pinang didakwa mencederakan Nor Azmah Mohd Amid @ Abdul Hamid, 31, yang merupakan seorang suri rumah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Azhar pada pukul 11 malam, 10 Disember 2009 di rumah bernombor 12-33, Kondominium WW Regency, Jalan Pelangi, di sini.

Difahamkan kejadian berlaku semasa Azhar dan mangsa masih berkahwin dan akibatnya, mangsa mengalami lebam di kedua-dua belah tangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun dan denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Shahrul Ekhsan menawarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan memaklumkan bahawa Azhar telah gagal untuk menghadiri prosiding mahkamah sejak kes disebut pada 1 Jun lalu.

Bagaimanapun, peguam Salim Bashir menjelaskan anak guamnya tidak pernah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat untuk hadir ke mahkamah, selain beranggapan telah menghantar representasi untuk menyemak semula tuduhan tersebut.

"Berhubung jaminan, saya merayu agar mahkamah dapat mengurangkan jumlah yang ditawarkan kerana tidak mungkin anak guam saya akan melarikan diri kerana masih berkhidmat.

"Anak guam saya juga mohon jumlah dapat dikurangkan bagi membolehkan ia dibayar hari ini memandangkan dia perlu melaporkan diri untuk bertugas pada petang ini," tambah Salim.

Menjawab kembali isu representasi, Shahrul Ekhsan berkata, arahan bertarikh 15 Ogos lalu menyatakan bahawa representasi tersebut telah ditolak dan pendakwaan akan diteruskan.

Azlinda membenarkan Azhar dibebaskan dengan jaminan RM1,100 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 November depan untuk penyerahan dokumen.

Jaminan tersebut dijelaskan oleh isteri baru Azhar.

Azhar sebelum ini pernah ditugaskan sebagai pegawai polis yang bertanggungjawab untuk menyelia Kompleks Mahkamah Shah Alam, dekat sini selama tiga tahun sebelum melanjutkan pelajaran pada tahun 2008.

Artikel Lain