suria

Akta Lindungi Pengguna Dalam E-Dagang Dibentang Di Parlimen April Depan

KUALA LUMPUR: Satu akta bagi melindungi hak-hak pengguna yang terlibat dalam e-dagang akan dibentang di Parlimen oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) April depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata akta tersebut adalah perlu bagi menjamin pengguna atau peniaga yang terlibat dalam e-dagang tidak menjadi mangsa jenayah siber, yang semakin meningkat akhir-akhir ini.

"Serangan alam siber dilihat semakin berleluasa sejak ledakan teknologi maklumat (IT) menjadi sebahagian daripada cara hidup seharian kita, dalam masa sama ia menjejaskan khalayak yang terlibat dalam e-dagang."

"Justeru, dengan akta yang akan dibentang nanti kita bukan sahaja dapat melindungi pengguna tetapi juga mengawal jenayah ini daripada berleluasa dengan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya kepada penjenayah yang terlibat dalam kegiatan tersebut," katanya kepada pemberita selepas sidang media Persidangan dan Pameran Infosecurity Sedunia 2012 (ISWec 2012) di sini, Khamis.

Yang turut hadir ialah Pengarah Projek Jocelyn Ng.

Semasa berucap, Rohani berkata statistik daripada Cyber999 Help Centre, Cyber Security Malaysia melaporkan peningkatan 130 peratus jenayah siber pada tahun ini.

"Statistik itu juga melaporkan pada 2009, sebanyak 3,564 kes dilaporkan kepada Cyber999 Help Centre, 2010, sebanyak 8,090 kes dan daripada Januari hingga September tahun ini adalah sebanyak 11,930 kes."

"Paling banyak kes jenayah yang dilaporkan oleh pengguna adalah penipuan iaitu 4,175 kes, "malicious code" (3,452 kes) dan pencerobohan (2,345 kes)," katanya.

Mengenai ISWec 2012, ia dianjurkan selama dua hari iaitu pada 21 dan 22 Mac depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kira-kira 500 pemamer tempatan dan antarabangsa yang terlibat dalam industri keselamatan IT dijangka mengambil bahagian dalam pameran itu.

ISWec 2012 dianjurkan oleh JFPS Group, syarikat peneraju penjana prestasi perniagaan yang berpengkalan di China dan mula melebarkan sayap perniagaan di negara ini pada 2008. -BERNAMA

Artikel Lain