suria

UiTM Mahu Lahirkan Melayu Pertama Penerima Hadiah Nobel

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mensasarkan untuk melahirkan orang Melayu pertama yang menerima Hadiah Nobel melalui bimbingan serta tunjuk ajar saintis tersohor Pakistan Prof Dr Atta-ur-Rahman.

Naib Canselor UiTM Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata beliau yakin dengan kepakaran yang dimiliki Prof Dr Atta-ur-Rahman, UiTM mampu merealisasikan impian itu melalui kajian dan pembangunan yang terperinci dalam bidang saintifik.

"Kita yakin dengan kerjasama yang telah dijalin sejak 2005, UiTM mampu mengorak langkah memperhebatkan kajian dalam bidang sains dan teknologi dengan nasihat dan panduan daripada Prof Atta-ur-Rahman. "Malah beberapa penuntut dan petugas UiTM juga telah dihantar ke Pakistan untuk tujuan berkongsi kepakaran dalam bidang berkaitan," katanya pada sidang media selepas Majlis Syarahan Perdana oleh Prof Dr Atta-ur-Rahman di sini, Rabu.

Majlis syarahan perdana itu adalah sempena penganugerahan Doktor Kehormat Sains yang akan diberikan kepada Prof Dr Atta-ur-Rahman pada Istiadat Konvokesyen UiTM kali-75, esok di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM di sini.

Prof Dr Atta-ur-Rahman merupakan Ketua Comstech, sebuah jawatankuasa bertaraf menteri yang dianggotai 57 negara Islam bagi membangunkan pelbagai projek sains dan teknologi di negara-negara Islam di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Beliau juga merupakan saintis Islam pertama yang memenangi Hadiah Unesco Science Laureate pada 1999 dan anugerah berprestij Fellow Royal Society (London) pada 2006 serta pengasas Husein Ebrahim Jamal Research Intitute of Chemistry di bawah naungan Universiti Karachi di Pakistan.

Mengenai impian UiTM untuk melahirkan pemenang Hadiah Nobel itu, Dr Atta-ur-Rahman berkata: "UiTM adakah sebuah universiti yang sangat unik dengan banyak cawangan dan mempunyai kampus yang besar.

UiTM mempunyai potensi untuk mencapai sasarannya dengan syarat lebih banyak usaha perlu dilakukan terutama dalam menaiktaraf pusat kecemerlangan dan pembangunan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain