suria

Suspek Cubaan Bunuh Kontraktor Tampil Serah Diri

KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori yang diburu polis setelah cuba menembak seorang kontraktor di Kampung Cacar, Paka, Dungun Isnin lepas, ditahan setelah menyerah diri petang Selasa.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata lelaki berusia 55 tahun berasal dari kampung berkenaan menyerah diri di Balai Polis Paka kira-kira pukul 7 petang Selasa.

"Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke rumahnya dan menunjukkan tempat senjata yang diguna semasa kejadian itu, disorok.

"Ekoran itu polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver .38 dan 16 peluru serta satu kelongsong peluru yang disorok dalam dua bekas di sebuah stor berhampiran rumahnya," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Jamshah berkata lelaki itu menyerah diri setelah gambarnya disiar dalam akhbar serta televisyen.

Beliau berkata siasatan awal polis juga mendapati kejadian itu bermotifkan dendam dan lelaki terbabit memperoleh senjata itu dari negara jiran.

"Kami masih menyiasat motif suspek memiliki senjata dan akan menyiasat lebih lanjut sama ada suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Jamshah berkata lelaki itu kini ditahan reman sehingga 25 Oktober untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api.

Semalam Bernama melaporkan seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah seorang kontraktor rakyat Indonesia ketika kontraktor itu sedang melakukan kerja mengecat di sebuah rumah.

Tembakan itu tidak mengenai kontraktor berkenaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain