suria

Najib Harap Pengorbanan Noramfaizul Jadi Iktibar Pengamal Media

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap pengorbanan Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor di Somalia menjadi inspirasi kepada semua pengamal media.

Najib berkata semua pengamal media perlu mengambil iktibar daripada kejadian menyayat hati itu dan menjadikannya sebagai inspirasi untuk terus berjuang dengan semangat tinggi dan mengharumkan profesion kewartawanan.

Bagaimanapun beliau berkata, kejadian menyayat hati itu tidak patut berlaku. "Ini umpama harapkan pagar pagar makan padi (merujuk kepada tentera African Union yang terlibat)," katanya semasa berucap di malam media perdana 2011 di Dewan Perdana Felda, malam Selasa.

Beliau memaklumkan pada pagi tadi Timbalan Perdana Menteri Somalia Mohamed Mohammud H.Ibrahim berjumpa secara peribadi dengan beliau menyatakan rasa simpati terhadap kejadian yang telah berlaku.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham berupa polisi insurans RM425,933.04 yang diterima oleh bapa Noramfaizul, Mohd Nor Mat Yasin, 66. Seramai 54 sukarelawan media yang turut menyertai misi kemanusiaan itu turut menerima sijil penghargaan.

Najib juga menyampaikan sumbangan peribadi bernilai RM11,000 kepada jurukamera TV3 Aji Saregar Mazlan, yang turut cedera dalam insiden itu, dan akan melangsungkan perkahwinan 11 November ini.

Sebagai menghargai jasanya, pada 8 Oktober, Noramfaizul juga menerima anugerah tunggal Bintang Gagah Perkasa (BGP) yang diperkenalkan sejak 1978.

Pada 2 Sept lepas, Noramfaizul, 39, yang menaiki kenderaan pacuan empat roda terbunuh akibat terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan semasa mengikuti misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Somalia. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain