suria

Malaysia Dapat Projek RM10 Bilion di Bangladesh

DHAKA: Malaysia telah mendapat projek infrastruktur bernilai RM10 bilion di Bangladesh yang akan dilaksanakan mulai awal tahun depan sehingga antara dua hingga lima tahun akan datang, kata Duta Khas Malaysia Datuk Seri S. Samy Vellu di sini pada Rabu.

Malaysia dan Bangladesh telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memudahkan pelaksanaan projek berkenaan di sini, Selasa.

Dokumen itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina oleh Samy Vellu di sini Khamis.

Samy Vellu, bekas Menteri Kerja Raya Malaysia, sedang melakukan lawatan kerja empat hari ke Bangladesh yang menyifatkan jalinan kerjasama itu sebagai “menang-menang” berkata, projek itu termasuk projek perumahan, perbandaran satelit, jejambat, rawatan air serta loji pemprosesan kumbahan.

Katanya, projek pertama melibatkan pembinaan 161 blok pangsapuri 16 tingkat bernilai hampir RM3 bilion di Uttara, dekat sini, yang akan dimulakan awal tahun depan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain