suria

Kematian Noramfaizul: Somalia Jamin Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Tentera Burundi

KUALA LUMPUR: Kerajaan Somalia memberi jaminan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap empat anggota tentera Burundi jika mereka didapati bertanggungjawab menyebabkan kematian jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor di Mogadishu, Somalia, bulan lepas.

Timbalan Perdana Menteri Somalia Mohamed Mohammud H.Ibrahim berkata siasatan terhadap keempat-empat anggota itu masih diteruskan dan mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan dalam tempoh terdekat jika didapati terbabit.

"Bagi pihak Somalia dan rakyat Somalia, kami berterima kasih kepada Malaysia kerana memahami situasi...kami masih menyiasat kes itu dan mereka yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi keluarga Allahyarham di kediaman mereka di Serdang Jaya, dekat sini.

Katanya siasatan awal mendapati kejadian itu tidak disengajakan, namun keempat-empat anggota Burundi terbabit telah dihantar pulang ke negara mereka untuk dibicarakan, selepas siasatan misi pengaman Kesatuan Afrika di Somalia mendapati mereka bertanggungjawab menembak dan menyebabkan kematian Noramfaizul.

Beliau berkata laporan dan keputusan penuh berhubung perbicaraan itu juga akan disiapkan pada kadar segera sebelum diserahkan kepada kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya beliau membawa bersama dua pucuk surat, yang mana satu diserahkan kepada Najib semalam untuk menjelaskan mengenai situasi sebenar kejadian, manakala sepucuk lagi yang mengandungi ucapan takziah dan rasa simpati diserahkan kepada keluarga Allahyarham pada Rabu.

"Kami datang dari Somalia untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, saudara dan rakan (Allahyarham) serta rakyat Malaysia...kami datang untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata Perwakilan Malaysia di Nairobi, Kenya, telah diminta untuk memantau perkembangan perbicaraan tersebut sehingga kes berkenaan selesai.

Allahyarham Noramfaizul, 39, terkorban akibat terkena tembakan curi ketika berada di Mogadishu semasa membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa kebuluran Somalia, pada 2 Sept lepas.

Dalam kejadian itu, jurukamera TV3 Aji Sarigar Mazlan turut mengalami kecederaan di lengan akibat terkena serpihan peluru yang menembusi bahu Noramfaizul. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain