suria

JPAM Siap Sedia Hadapi Banjir Di Kelantan & Perlis

KUALA LUMPUR: Seramai 1,300 anggota sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir berlaku di Kelantan dan Perlis berikutan banjir yang melanda negara jiran Thailand.

Pegawai Perhubungan Awam JPAM, Adeli Hussin berkata kesemua sukarelawan dari Kelantan dan Perlis sedia dikerahkan pada bila-bila masa terutama bagi membantu mangsa banjir dan kerja-kerja menyelamat.

"Kita akan memberi tumpuan kepada negeri yang mana dijangka air akan turun dan menyebabkan banjir akan berlaku di negeri sempadan yang berhampiran seperti Perlis dan Kelantan," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Kira-kira satu pertiga dari kawasan di Thailand masih digenangi air, dengan 2.4 juta penduduk dari lebih 10,000 kampung dan 27 wilayah di utara dan tengah terjejas oleh banjir yang melanda negara itu secara berperingkat mulai 25 Julai.

Adeli berkata seramai 1,000 anggota JPAM di Kelantan sudah bersiap sedia dari segi logistik iaitu dengan menyediakan 21 bot dan empat buah lori bermuatan lima tan bagi memindahkan mangsa sekiranya berlaku banjir. Manakala 300 anggota JPAM Perlis yang memiliki kemudahan logistik lapan bot dan dua lori masing-masing dengan muatan tiga tan serta lima tan sedia untuk ditugaskan sekiranya berlaku banjir, katanya.

"Logistik ini tidak termasuk bantuan dari negeri yang berdekatan sekiranya yang sedia ada tidak mencukupi dan negeri yang berhampiran akan turut membantu jika diminta berbuat demikian sekiranya arahan dikeluarkan supaya membantu negeri yang teruk dilanda banjir," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain