suria

Jamil Khir Yakin Himpunan Sejuta Umat Tidak Undang Ketegangan Agama

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yakin Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) yang bakal diadakan Sabtu ini tidak akan mengundang ketegangan antara agama.

Menurut beliau, pendirian berkenaan selari dengan keputusan pihak berkuasa apabila meluluskan permit perhimpunan tersebut.

"Saya tengok penganjur telah beri akujanji bahawa mereka adalah berbeza dengan semangat yang tidak boleh dikawal... maknanya ini bertujuan untuk pertahankan agama Islam dan penyatuan umat.

"Jadi saya fikir suasana dan keadaan perhimpunan ini adalah berbeza dengan perhimpunan berasaskan sifat marah.

"Tambahan pula ia akan diadakan di stadium, sekaligus dapat kurangkan masalah," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan PAS yang menetapkan pendirian untuk tidak menyertai perhimpunan tersebut kerana khuatir ia akan mencetuskan polemik agama dan ketegangan kaum.

Selain PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mengumumkan pendirian yang sama kerana bimbang penyertaan parti itu berkemungkinan diperalatkan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik.

Perhimpunan Sejuta Umat Sabtu ini dianjurkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam bertujuan 'menghantar mesej' kepada pelbagai pihak mengenai isu murtad di kalangan umat Islam di negara ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain