suria

Inisiatif Digital Bakal Sumbang RM294 Bilion Pada PNK Menjelang 2020

PUTRAJAYA: Digital Malaysia akan meningkatkan sumbangan nilai tinggi, inisiatif digital yang dipacu pengetahuan kepada 17 peratus atau lebih RM294 bilion daripada pendapatan negara kasar (PNK) menjelang 2020 daripada 12.5 peratus sekarang ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah diberi mandat untuk menerajui Program Transformasi Digital yang akan dikenali sebagai Digital Malaysia.

Peranan MDeC ialah untuk mengubah ekonomi kepada ekonomi digital dengan memberi penekanan kepada inovasi, kreativiti dan produktiviti.

"MDeC memberi jaminan kepada saya bahawa pelaksanaan projek-projek pertama akan bermula pada suku pertama tahun depan," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan ke-23 dan Panel Penasihat Antarabangsa MSC Malaysia ke-14, di sini pada Rabu.

Najib berkata Digital Malaysia menetapkan sasaran sumbangan PNK sebanyak RM75 bilion daripada inisiatif transformasi digital menjelang 2020.

Bersama-sama dengan RM93 bilion daripada inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedia ada dan RM126 bilion yang dijangka daripada inisiatif ICT dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan(GTP), ia akan menjadikan sumbangan PNK daripada Digital Malaysia kepada RM294 bilion menjelang 2020, kata Najib.

"Digital Malaysia adalah asas Dasar Transformasi Negara," kata Perdana Menteri.

"Dengan menyokong penciptaan pendekatan yang bersepadu dan menyeluruh untuk mencapai sebuah negara yang benar-benar digital, Digital Malaysia melengkapkan Agenda Transformasi Negara bersama-sama dengan ETP, GTP, Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Luar Bandar," kata beliau.

Menurut Najib, inisiatif transformasi digital akan membolehkan Malaysia meningkatkan sumbangan ICT terhadap PNK kepada 17 peratus pada 2020 daripada 9.8 peratus sekarang ini.

Ia juga akan membolehkan Malaysia berada dalam ranking 20 ekonomi digital terbaik menjelang 2020, daripada kedudukan 36 daripada 70 negara sekarang, dan juga dalam 10 terbaik dalam IMD World Competitiveness Scoreboard, daripada kedudukan 16 sekarang ini daripada 59 negara.

Antara inisiatif di bawah program transformasi digital adalah memastikan eko-sistem dan budaya untuk membolehkan kemahiran dan semangat keusahawanan berkembang dan menukarkan syarikat yang baru bermula kepada perniagaan e-dagang dan dalam talian.

Inisiatif lain juga termasuk menyuntik kreativiti yang lebih tinggi dan penggalakkan kemahiran berfikir di seluruh sistem pendidikan, mengkomersilkan secara berperingkat 300 peluang hak harta intelek yang dibangunkan oleh universiti dan menggalakkan modal teroka untuk mempromosikan industri kreatif. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain