suria

Had Umur Minimum Persaraan Akan Diputuskan Selepas Kajian

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata isu had umur minimum persaraan yang bersesuaian di bawah Sekyen 28A dan Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67] akan diputuskan setelah kajian secara mendalam dilakukan. "Ini kerana sebarang pindaan seumpamanya akan mengakibatkan implikasi kewangan kepada semua litigan dan hal ini memerlukan kajian yang lebih mendalam dijalankan oleh kerajaan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Karpal bertanya sama ada kerajaan bersedia meminda akta itu untuk memasukkan kehilangan pendapatan masa depan sebagai ganti rugi melebihi umur bersara 58 tahun di kedua-dua sektor awam dan swasta.

Beliau berkata kerajaan akan menimbang keperluan untuk meminda akta itu selepas kajian dijalankan untuk menaikkan had tempoh umur bagi perkiraan kehilangan pendapatan masa depan sebagai ganti rugi serta kehilangan saraan oleh waris si mati.

Mohamed Nazri berkata walaupun usia persaraan paksa bagi perkhidmatan awam kini adalah 58 tahun dan sektor swasta juga dalam pertimbangan untuk dinaikkan, ia tidak bermakna peruntukan Seksyen 7 dan 28 Akta 6 tersebut dipinda secara automatik mengikut kenaikan itu.

Seksyen 28A Akta 67 memperuntukkan seseorang itu layak mendapat ganti rugi kehilangan pendapatan masa depan sehingga mencapai 55 tahun dan sekiranya pada masa kecederaan seseorang itu mencapai 55 tahun, beliau tidak layak mendapat ganti rugi kehilangan pendapatan masa depan.

Seksyen 7 Akta tersebut pula memperuntukkan waris si mati layak mendapat ganti rugi kehilangan saraan yang pada kebiasaannya diterima daripada si mati sehingga mencapai 55 tahun dan sekiranya pada waktu kematian si mati mencapai 55 tahun, tiada ganti rugi kehilangan saraan akan diberikan kepada waris si mati, katanya.

Menurutnya, isu pindaan timbul berikutan pindaan yang dibuat kepada Akta Pencen 1980 [Akta 227] pada 2008. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain