suria

Usahawan Muda Boleh Jadi Perintis Inovasi, Kreativiti Dalam Perniagaan:Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Usahawan muda dalam ekonomi-ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) boleh menjadi "ejen perubahan" untuk menerajui transformasi dengan mewujudkan budaya perniagaan inovatif dalam masyarakat masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa.

Beliau berkata meskipun kerajaan komited terhadap usaha memperkukuh kecekapan ekonomi dalam penyelidikan dan pembangunan, teknologi dan inovasi, namun usahawan muda boleh menjadi perintis dan peneraju dalam aspek ini.

Dengan pengetahuan dan sifat ingin tahu mereka serta keupayaan untuk sentiasa kemas kini dengan maklumat dan aplikasi teknologi, usahawan muda berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menerima pakai dan menyesuaikan diri dengan inovasi, tegas beliau.

Oleh kerana rantaian nilai ekonomi sesebuah negara itu boleh dilonjakkan ke tahap yang lebih tinggi melalui inovasi, pendekatan dan perkaedahan inovatif akan mengupayakan generasi menghasilkan idea baharu dan segar, yang boleh diterjemahkan menjadi produk dan perkhidmatan komersial yang berdaya maju, kata beliau.

"Dengan merangkumkan kepintaran, daya cipta, dan keaslian, saya percaya usahawan, terutamanya usahawan muda, akan meraih manfaat daripada kegiatan nilai tambah yang tinggi, yang seterusnya menjana pendapatan tinggi," ujar beliau semasa merasmikan Sidang Kemuncak Usahawan Muda APEC (APEC-YES).

Seramai 800 peserta dari 21 negara-negara anggota APEC menghadiri sidang kemuncak bertema "Meraih Nilai Ekonomi Melalui Inovasi" itu.

Untuk memanfaatkan potensi dan daya maju usahawan muda untuk menyumbang kepada ekonomi negara masing-masing, kata Muhyiddin, penubuhan perniagaan baharu dan kreatif juga telah dikenal pasti sebagai satu daripada kaedah segera untuk membuahkan hasil yang diinginkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang membentuk 99.2 peratus daripada keseluruhan entiti perniagaan cergas di negara ini, menerima pakai lebih banyak inovasi dan teknologi dalam perniagaan mereka.

Kata beliau pembangunan PKS yang inovatif dan kreatif akan menjadi unsur utama dalam mengubah struktur ekonomi Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Di samping itu, Pelan Induk PKS Malaysia (2011-2020), yang sedang disiapkan, akan juga memberikan tumpuan kepada usaha mewujudkan ekosistem pengupaya untuk mempercepat pertumbuhan PKS melalui peningkatan produktiviti dan inovasi untuk memacu PKS ke tahap pembangunan berikutnya.

"Satu daripada matlamat strategik di bawah pelan induk itu ialah meningkatkan bilangan firma pertumbuhan tinggi dan inovatif menerusi cara menggalakkan inovasi yang lebih hebat dan penerimaan pakai teknologi dalam kalangan PKS," tegas beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain