suria

Polis Tahan Suami Isteri, Selesai 31 Kes Curi Dan Samun Kereta Di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Penahanan sepasang suami isteri di flat Pandan Perdana di sini pada 12 Oktober lepas membolehkan polis menyelesaikan 31 kes curi dan samun kereta di sekitar Lembah Klang sejak 2010.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata suami isteri berumur 41 dan 32 tahun itu ditahan dalam sebuah kereta Proton Saga berhampiran flat itu pada pukul 3.20 petang.

"Hasil siasatan, kami dapati kereta itu merupakan hasil samun. Kami juga temui sebuah komputer riba, lima peralatan elektronik, kunci pelbagai jenis kereta, sebilah parang panjang 14 inci dalam kereta itu," katanya kepada pemberita di Balai Polis Pandan Indah di sini, hari ini.

Beliau berkata susulan tangkapan itu, polis ke rumah mereka di flat berkenaan dan merampas pelbagai barangan lain termasuk lima telefon bimbit, jam tangan dan aksesori wanita, 31 geran kereta, lima pasport pelbagai negara, empat bilah parang dan sebilah kapak.

"Polis turut merampas sembilan kereta curi dan samun termasuk Proton Iswara, Proton Wira, Pajero dan Toyota Corola yang nilainya berjumlah RM250,000 di kawasan flat itu. "Enam daripada sembilan kereta itu dicuri di Selangor dan bakinya di Kuala Lumpur. Polis juga percaya suspek melakukan samun bersenjata untuk mencuri kereta.

"Komponen kereta yang mereka curi dan samun itu akan dileraikan untuk dijual kepada kedai tertentu dan kami akan siasat kedai yang terlibat," katanya.

Beliau berkata suami isteri yang menganggur dan tiada rekod jenayah itu, ditahan reman sehingga Rabu untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain