suria

Polis Perak Tumpaskan Tiga Sindiket Tipu Mangsa RM1.9 Juta

IPOH: Polis Perak berjaya menumpaskan tiga sindiket membabitkan penipuan wang melalui internet, penipuan bomoh Cina dan kes penipuan antarabangsa dikenali "Macau Scam" yang melibatkan kerugian RM1.9 juta kepada mangsa di negeri itu.

Dalam kes pertama, polis menumpaskan sindiket penipuan wang melalui internet yang didalangi warga Afrika dengan tertangkapnya 15 ahli kumpulan penjenayah itu di Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahalan berkata siasatan mendapati kumpulan itu mula beroperasi awal tahun ini dan terlibat dalam 44 kes dilaporkan di Perak dengan kerugian berjumlah RM847,149.

Mereka yang ditangkap ialah masing-masing 12 lelaki warganegara Nigeria, dua wanita rakyat tempatan dan seorang wanita rakyat Singapura yang kesemuanya berusia 30 hingga 40 tahun, katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan Ketua Polis Perak di sini Selasa.

Kesemua suspek ditahan minggu lepas di Selangor dan masih direman sehingga minggu depan.

Shukri berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan berkenalan dengan mangsa wanita tempatan melalui laman sosial seperti facebook, tagged.com. dan selepas persahabatan terjalin, sindiket memaklumkan mangsa akan dikirimkan hadiah bungkusan yang mengandungi wang tunai dan barangan kemas.

"Mangsa kemudian akan dimaklumkan oleh ahli sindiket yang menyamar sebagai pegawai kastam atau syarikat kurier bahawa bungkusan tersebut telah ditahan oleh Kastam Malaysia dan perlu menjelaskan beberapa bayaran ke dalam akaun bank yang akan diberikan oleh sindiket bagi tujuan menuntut bungkusan itu," katanya.

Dalam kes penipuan yang dilakukan oleh bomoh Cina pula, polis menahan dua wanita dan seorang lelaki warga negara China berumur antara 44 dan 45 tahun di Sungai Siput pada 10 Okt lepas.

Shukri berkata siasatan polis mendapati ahli kumpulan itu, yang datang ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial, akan menghampiri mangsa wanita berbangsa Cina di pasar-pasar serta mengatakan keluarga mangsa telah terkena jampi bomoh dan mendakwa akan mendapat penyakit.

Katanya kumpulan terbabit akan meminta wang tunai dan barang kemas untuk melakukan upacara keagamaan dan setelah selesai, sindiket itu akan menukarkan bungkusan mangsa dengan bungkusan lain yang diisi dengan buah-buahan dan botol air mineral lalu menghilangkan diri.

Sepanjang Januari hingga September tahun ini, lapan kes dilaporkan di Perak melibatkan kerugian sejumlah RM173,190.

Dalam kes penipuan antarabangsa digelar "Macau Scam", ahli sindiket terbabit akan menyamar sebagai pegawai bank tempatan atau polis HOng Kong dengan memaklumkan bahawa kad kredit atas nama mangsa telah digunakan di merata tempat dengan perbelanjaan yang tinggi, atau akaun bank mereka dikesan terlibat dalam kes jenayah di luar negara.

Shukri berkata ahli sindiket kemudian menyamar sebagai pegawai Bank Negara atau polis dari Bukit Aman untuk menawarkan bantuan bagi mengelak akaun atau wang mangsa daripada dibekukan atau dirampas dan memperdaya mangsa membuat pindahan wang dari akaun bank mangsa ke akaun bank yang dibekalkan oleh sindiket.

Sepanjang Januari hingga Oktober ini, 55 kes dilaporkan di Perak melibatkan kerugian berjumlah RM935,984.

Shukri berkata polis sedang mengesan ahli sindiket terbabit dan menasihatkan orang ramai tidak melayani panggilan telefon yang mengarahkan mereka memindahkan wang daripada akaun mereka kepada akaun orang lain kononnya dengan alasan mengelak akaun bank mereka dibekukan oleh pihak berkuasa kerana terlibat dalam kes jenayah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain