suria

PM Akan Lancar Dasar Agro Makanan 2011-2020

MELAKA: Dasar Agro Makanan bagi tempoh 10 tahun dari 2011 hingga 2020 yang memberi penumpuan kepada komoditi makanan bagi menjamin bekalan makanan negara akan dilancar tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Chua Tee Yong berkata dasar itu menggariskan empat strategi antaranya meningkatkan pendapatan eksport pertanian menerusi produk berkualiti tinggi.

"Ia akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Hortikultur 2011, di sini, Selasa.

Persidangan itu bagi memajukan lagi sektor pertanian amnya dan industri hortikultur khasnya merupakan siri keempat sejak ia mula dianjurkan di Kuala Kumpur pada 1999.

Persidangan itu dihadiri 220 peserta dari dalam dan luar negara.

Mengenai sumbangan industri hortikultur kepada pembangunan ekonomi negara, Chua berkata ia meningkat dari tahun ke tahun dengan pengeluaran buah-buahan meningkat daripada 1,027 juta metrik tan (Mt) pada 2000 kepada 1.875 Mt pada tahun lepas.

Begitu juga pengeluaran sayuran bagi tempoh yang sama telah meningkat daripada 511,000 Mt kepada lebih 900,000 Mt manakala industri florikultur meningkat kepada lebih 80,400 Mt daripada 9,725 Mt, katanya.

Beliau berkata kerajaan akan menyediakan lebih banyak dana yang boleh diguna untuk menghasilkan inovasi dan teknologi baru yang diperlukan untuk membangun sektor pertanian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain