suria

Permohonan Batalkan Kenyataan Pembelaan Anwar Didengar 27 Oktober

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 Oktober ini untuk mendengar permohonan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk membatalkan sebahagian kenyataan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman berhubung video seks memaparkan pelaku mirip ketua pembangkang itu.

Peguam Sunil Abraham, yang mewakili Hishammuddin, berkata kepada pemberita hari ini, permohonan itu akan didengar oleh Hakim Datuk V.T.Singham.

Pada 26 April, Hishammuddin memfailkan saman fitnah terhadap Anwar berhubung wawancara ketua pembangkang itu dengan wakil media pada 22 Mac di Balai Polis Dang Wangi, selepas membuat laporan menafikan yang dirinya adalah lelaki dalam video itu.

Hishammuddin, 50, berkata kata-kata dalam temubual itu antara lain bermaksud yang beliau bertanggungjawab menayangkan video berkenaan kepada sekumpulan editor dan wartawan di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Menteri itu berkata kata-kata itu juga bermaksud yang beliau telah mengaturkan penayangan video itu dan berkomplot dengan perdana menteri dan pegawai tinggi polis berhubung penayangan video itu.

Dalam pernyataan pembelaannya, Anwar berkata kata-kata beliau dalam wawancara itu telah diterbitkan atas kapasiti pelindungan bersyarat dan kedudukannya sebagai ketua pembangkang.

Anwar turut memfailkan kenyataan balas menyatakan kata-kata Hishammuddin pada sidang media yang diadakan beliau pada 21 Mac, seolah-olah mengesahkan kenyataan oleh tiga individu yang mendedahkan video itu bahawa pelaku dalam video itu adalah dirinya (Anwar).

Hishammuddin, dalam jawapannya, berkata Anwar mempunyai niat buruk semasa mengeluarkan kata-kata memfitnah itu yang kemudiannya telah dilaporkan secara meluas di media dan Internet.

Beliau berkata kata-kata itu bukan diterbitkan dengan niat baik dan motif utama Anwar ialah untuk mencemarkan reputasinya sebagai menteri dan ahli politik. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain