Perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia Diperluas - Semasa | mStar

Perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia Diperluas

KUCHING: Kementerian Kesihatan akan memperluaskan perkhidmatan klinik bergerak 1Malaysia ke seluruh negara sejajar dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di luar bandar.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata tumpuan akan diberikan di kawasan yang sukar dihubungi menggunakan sistem jalan raya yang baik dan kawasan pedalaman.

"Kita menyasarkan untuk meluaskan lagi perkhidmatan klinik bergerak 1Malaysia kepada 25 peratus tahun ini melibatkan kawasan lingkungan lebih 25 kilometer dari Klinik Kesihatan terdekat," katanya dalam ucapan pada majlis Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sarawak di sini Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Mohd Azhar Yahya.

Rosnah berkata perhatian juga diberikan kepada Sabah dan Sarawak khasnya di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai perkhidmatan Klinik Kesihatan.

Menurut beliau langkah meningkatkan perkhidmatan kesihatan itu merupakan antara usaha kerajaan untuk mensejahterakan hidup rakyat di luar bandar dan pedalaman. Rosnah juga berkata kementerian akan mengambil beberapa pendekatan untuk menambah jumlah doktor di negara ini termasuk memanggil doktor tempatan yang berkhidmat di luar negara.

Katanya ketika ini nisbah doktor untuk pesakit di Malaysia adalah 1:927 berbanding standard dunia iaitu 1:600 manakala untuk Sabah dan Sarawak nisbahnya adalah 1:2000.

Beliau berkata Malaysia kini menjadi tumpuan kepada sektor pelancongan perubatan, dengan jumlah pelancong kesihatan seramai 437,000 tahun lalu sekaligus menghasilkan pendapatan sebanyak RM430 juta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Perkampungan Hang Tuah Di Kg Duyung Melaka

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

Mercun: Pelajar Didenda RM2,000

Artikel Lain