suria

PDRM Nafi Kes Pembantu Rumah Kemboja Mati Akibat Didera

KUALA LUMPUR: Polis menafikan berlakunya tiga kes pembantu rumah Kemboja mati akibat penderaan seperti yang dilaporkan sebuah akhbar baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata sepanjang 2004 sehingga hari ini, hanya dua kematian membabitkan pekerja kilang dari negara itu yang direkodkan.

"Kes pertama membabitkan pekerja kilang warganegara Kemboja berusia 20-an mati akibat dibunuh oleh rakan wanita senegaranya pada 13 Mei 2004 di Ulu Tiram, Johor.

"Kes kedua melibatkan seorang pekerja kilang lelaki warganegara Kemboja yang dibunuh rakan senegaranya pada September dua tahun lepas di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau mengulas laporan akhbar berkenaan bahawa tiga pembantu rumah warganegara Kemboja mati akibat didera dalam tempoh seminggu, hingga menyebabkan Perdana Menteri negara itu, Hun Sen, melarang penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada Jumaat lepas.

Mohd Bakri berkata selain itu, bagi tempoh 2009 hingga September tahun ini, hanya sembilan kes penderaan dilaporkan dan tiga daripadanya sudah selesai.

Dalam tempoh sama, sebanyak 37 kes rogol direkodkan melibatkan 29 pembantu rumah dan bakinya membabitkan sektor pekerjaan lain.

"Kami tidak pernah menerima sebarang laporan dari mana-mana pihak, sama ada kenalan atau waris mangsa, mahupun wakil kerajaan Kemboja, mengenai kes penderaan yang membawa kepada kematian pembantu rumah warganegara mereka.

"Polis tidak pernah mengambil mudah kes-kes melibatkan warga asing di mana siasatan sentiasa dijalankan untuk membawa suspek ke muka pengadilan melalui unit khas sendiri, D11 (Bahagian Siasatan Seksual/Keganasan Rumahtangga/Penderaan Kanak-kanak) untuk selesaikan kes melibatkan warga asing," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis masih mengesan beberapa perancang utama sindiket pemerdagangan wanita Uganda yang ditumpaskan dalam satu operasi di Sunway Mentari Court, Petaling Jaya pada Jumaat lepas.

Mohd Bakri berkata pihaknya yakin perancang utama warga Uganda itu dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang dan terlibat dalam memperdagangkan wanita Uganda untuk tujuan pelacuran.

"Kita tengok pada rangkaian (kes) lain yang boleh dikaitkan dengan suspek. Ketika ini, kita sedang mencari maklumat termasuk mendapatkan keterangan dari pemilik premis pelacuran itu," katanya.

Dalam operasi itu, polis menyelamatkan 21 wanita dari Uganda yang dipaksa menjadi pelacur selain menahan dua ibu ayam warganegara itu serta seorang pelanggan lelaki dari negara sama.

Kesemua mangsa, yang berumur 19 hingga 42 tahun, terjerat dengan sindiket yang menawarkan gaji lumayan sebagai pembantu rumah di Malaysia, namun dilacurkan sejak pertengahan tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain