suria

NUJ Bakal Terbit Buku Panduan Liputan Zon Konflik

KUALA LUMPUR: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) akan mengeluarkan buku panduan komprehensif untuk pengamal media berhubung tatacara dan persediaan sebelum menyertai mana-mana misi bantuan kemanusiaan di zon konflik atau perang.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, pada masa yang sama, pihak kementerian itu juga akan membantu dalam memastikan kandungan buku itu bersesuaian dengan keperluan semasa.

"NUJ akan keluarkan buku panduan untuk wartawan dan jurugambar sebagai panduan untuk mereka membuat liputan tidak kira sama ada di dalam atau luar negara," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) yang ingin mengetahui mengenai usaha kerajaan dalam melindungi pihak media yang bertugas di kawasan konflik.

Sementara itu D'Cruz berkata, selain buku panduan yang bakal dikeluarkan NUJ, organisasi media turut diminta mengeluarkan standard operasi kerja (SOP) sebagai panduan kepada wartawan dan jurugambar masing-masing.

"Firma-firma media harus mempunyai tatacara pelaksanaan kerja sendiri dalam menghgadapi liputan di kawasan berisiko tinggi.

"Selain itu adalah menjadi tanggungjawab firma-firma media untuk memastikan pemberita atau jurugambar mereka diberikan latihan untuk menghadapi situasi bahaya yang boleh mengancam nyawa," katanya.

Tambah D'Cruz, pihak kementerian juga sedia membantu mana-mana organisasi media dalam melatih pengamal media menghadapi situasi berbahaya.

"Pihak kerajaan sedia membantu mana-mana firma media untuk melatih pemberita atau jurugambar mereka bagi tujuan tersebut.

"Mereka boleh diberikan latihan ala tentera mengenai taktik dan teknik menghadapi kelangsungan hidup," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain