suria

NGO Mahu Isu Pembuangan Bayi Di Luar Bandar Diambil Perhatian

KUCHING: Badan bukan kerajaan (NGO) Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) mahu isu sosial khasnya kes pembuangan bayi yang kini menular ke kawasan luar bandar di Sarawak diambil perhatian serius oleh pihak berwajib.

Setiausahanya Hellan Empaing berkata beberapa langkah perlu diambil khasnya dalam meningkatkan kesedaran di kalangan ibu bapa dan guru agar perkara itu dapat dibendung.

"Ibu bapa di luar bandar tidak seharusnya memandang ringan isu pembuangan bayi dan gejala sosial lain yang kini semakin menular di luar bandar," katanya mengulas kes pembunuhan bayi membabitkan seorang pelajar sekolah menengah di bahagian Betong semalam.

Beliau berkata pengaruh media seperti internet dan siaran televisyen satelit yang semakin meluas liputannya dibimbangi menjadi satu daripada punca berlakunya kejutan budaya di kalangan belia luar bandar.

Mengenai kejadian di Betong semalam, Hellan berkata kejadian itu menimbulkan pelbagai persoalan kerana pelajar terbabit tinggal di asrama sekolah.

Hellan yang juga anggota Wanita Desa Sarawak (Wadesa) berkata ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak yang tinggal di asrama tidak pergi ke tempat lain ketika cuti hujung minggu atau waktu cuti sekolah untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain