suria

Mayat Dua Warga Asing, Seorang Cedera Parah Ditemui Dalam Gaung

IPOH: Mayat dua lelaki warga asing manakala seorang lagi dalam keadaan cedera parah ditemui dalam gaung sedalam kira-kira 50 meter di bawah jambatan di Km8.9, Jalan Gerik-Kupang, kira-kira 190km dari sini, Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata ketiga-tiga mangsa warga Pakistan itu ditemui pada kira-kira 12 tengah hari oleh orang awam yang sedang mencari sayur pucuk paku di bawah jambatan itu yang kemudiannya menghubungi polis.

Polis yang tiba di tempat kejadian mendapati mayat dua lelaki itu sudah hampir busuk manakala seorang lagi lelaki terbaring dalam keadaan cedera parah di badan dan kepala, katanya kepada Bernama ketika dihubungi Isnin.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada dua mayat tersebut manakala lelaki yang cedera parah itu dikenali sebagai Amjad Rehman, katanya dan menurutnya kesemua mangsa merupakan warga Pakistan berusia dalam lingkungan 30-an.

Mayat dua lelaki itu dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera parah turut dirawat di hospital yang sama, katanya.

Dzuraidi berkata Amjad mendakwa mereka telah dibuang dari atas jambatan itu kira-kira empat hari lalu selepas dipukul dan disamun oleh sekumpulan lelaki.

Katanya menurut mangsa yang terselamat itu, ketika kejadian, mereka dibawa oleh sebuah agensi pekerjaan dalam perjalanan ke Pulau Pinang, bagaimanapun ketika sampai di Gerik, mereka telah disamun oleh sekumpulan lelaki.

Mereka bertiga kemudian dicampakkan dari atas jambatan ke dalam gaung sedalam 50 meter itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut