suria

Lans Koperal Terima Rasuah Dihukum Penjara Dan Denda

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, mengekalkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 atau penjara dua bulan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap seorang Lans Koperal polis kerana menerima rasuah tujuh tahun lepas.

Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab berkata Mahkamah Sesyen membuat keputusan betul dengan mengenakan hukuman itut terhadap Lans Korporal Yazid Marto pada 30 September tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata beliau meneliti sepenuhnya hujah pendakwaan dan pembelaan dan mendapati terdapat percanggahan kenyataan saksi perayu ketika proses rayuan dibuat.

Yazid, 46, didakwa menerima RM500 daripada Md Saad Osman sebagai dorongan bagi menyelesaikan satu kes kecurian 34 keping kad tambah nilai melibatkan anak lelakinya, Zamberi Md Saad, di sebuah kedai di Changlun pada 8 Mac 2004.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumah bernombor 38, Taman Sri Utama, Jalan Sungai Baru, Kota Giam, Jitra.

Anggota polis itu juga menghadapi satu lagi pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM500 daripada Md Saad di lokasi sama pada 11.37 pagi 25 Mac 2004.

Yazid didakwa mengikut Sekyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Mohd Zaki kemudian membenarkan permohonan Yazid untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Saad, menjalankan pendakwaan manakala Yazid diwakili peguambela, G. Ravishankar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain