suria

KPT Peruntuk RM3.5j Untuk Pensyarah Ikuti Diploma Pasca Ijazah Keusahawanan Universiti Cambridge

SHAH ALAM: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Belanjawan 2012 telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta bagi melatih seramai 20 tenaga pengajar dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengikuti Diploma Pasca Ijazah dalam Keusahawanan di Universiti Cambridge.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini seramai 12 pensyarah telah dihantar ke universiti itu bagi tahun 2011 untuk melanjutkan pelajaran mereka.

"Semoga latihan ini mampu menjadikan pensyarah berkenaan sebagai penggerak kepada aktiviti pengajaran dan penyelidikan keusahawanan lebih mantap, berstruktur dan mempunyai impak tinggi kepada pelajar dan universiti.

"Walaupun bilangan pensyarah yang menerima latihan daripada Universiti Cambridge agak terhad namun ia merupakan peluang bagi universiti tempatan untuk menghantar kakitangan mereka ke universiti berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, Selasa.

Majlis itu turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Dr Ir Sahol Hamid Abu Bakar dan Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) bagi MASMED, Profesor Dr Razmi Chik.

Khaled berkata, dalam mewujudkan pendidikan keusahawanan, universiti perlu mengadakan hubungan dengan industri dan syarikat.

Jelasnya, ia tidak boleh berlaku dalam universiti sahaja tetapi turut melibatkan dua pendekatan luar itu.

"Ini termasuk para Alumni universiti yang kini sudah menceburi bidang perniagaan masing-masing.

"Mereka (industri dan syarikat) bukan sahaja ada ilmu dan pengalaman bahkan boleh memberi tempat untuk pendedahan.

"Dan apa yang penting juga mereka mempunyai modal untuk membantu dan membuka peluang kepada pelajar-pelajar yang berminat menjadi usahawan," katanya.

Dalam pada itu, Khaled berkata, penubuhan MASMED adalah tepat pada masanya bagi UiTM menaik taraf pusat keusahawanan melalui Malaysian Enterpreneurship Centre (MEDEC) kepada sebuah akademi.

"Diharapkan agar akademi ini dapat meneruskan legasinya dengan lebih berkesan.

"Ia juga boleh berfungsi dengan lebih agresif sebagai pusat autonomi yang mempunyai peranan untuk merancang, menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan program, aktiviti serta pendidikan UiTM.

"Ini selaras dengan Teras Pertama Dasar Pembangunan Keusahawanan, IPT yang telah diperkenalkan oleh KPT pada 13 April 2010," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain