suria

Kementerian Pelajaran Perlu Teliti Peraturan Sebelum Dapat Menukar Status Sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran perlu meneliti beberapa peraturan dalam Akta Pendidikan 1996 sebelum membenarkan status sekolah bantuan modal ditukar kepada sekolah bantuan penuh kerajaan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata antara peraturan yang perlu penelitian ialah kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tanah tapak sekolah yang bukan milik sekolah itu, melainkan pemilik tanah berkenaan menyerahkan secara sukarela.

"Di samping itu, banyak aspek lain perlu diberikan perhatian seperti persetujuan semua pihak ibu bapa, lembaga pengelola dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), penyediaan tapak dan pemilihan lokasi yang sesuai serta kos pembinaan infrastruktur," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Ngeh ingin mengetahui sama ada semua sekolah bantuan modal di ladang kepunyaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersedia dijadikan sekolah bantuan penuh kerajaan.

Puad berkata selain itu, kemampuan kewangan kerajaan untuk mengambil alih sekolah itu juga perlu diteliti.

"Perlu dijelaskan bahawa masih banyak sekolah kerajaan khususnya di luar bandar dan pedalamanan sangat memerlukan perhatian khususnya dari segi pembangunan dan kemudahan fizikal.

"Namun demikian, kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap pembangunan sekolah, sama ada sekolah kerajaan ataupun sekolah bantuan kerajaan," katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun kementerian tetap memberi peruntukan kepada semua jenis aliran sekolah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain