suria

Kementerian Lancar Video Dokumentari Jelas Isu Krisis Air Dan Loji Langat 2

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Selasa, melancarkan video dokumentari untuk memberi penjelasan kepada rakyat terhadap isu krisis bekalan air yang dijangka berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun 2014.

Video dokumentari bertajuk "2014: Satu Penjelasan" selama lima minit itu turut memuatkan kemelut pembinaan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) apabila kerajaan negeri Selangor dan kerajaan pusat gagal mencapai persetujuan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata berkata video tersebut bakal dimuatnaik ke laman KeTTHA di (www.kettha.gov.my), laman sosial YouTube, Facebook Blog menteri (www.peterchin.my).

"Penjelasan melalui video dokumentari ini bukan kita nak bantah atau lawan siapa-siapa. Kita hanya mahu menjelaskan kepada orang ramai mengenai apa akan terjadi (kalau pelaksanaan projek Langat 2 ditangguhkan) pada 2014.

"Kita mahu rakyat tahu sekiranya ia (krisis air) berlaku, saya mahu orang ramai tidak menyalahkan Peter Chin, Perdana Menteri atau kerajaan persekutuan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan video dokumentari itu di sini.

Sebelum itu, beliau menghadiri majlis perjumpaan bersama warga KeTTHA dan agensi-agensi di bawah kementerian di sini. Hadir sama Ketua Setiausaha KeTTHA Datuk Loo Took Gee.

Chin berkata kerajaan pusat telah melaksanakan yang terbaik termasuk mengadakan beberapa siri perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian dalam pelaksanaan projek Langat 2 yang dijangka dapat menampung permintaan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Namun begitu, beliau berkata keputusan kerajaan negeri Selangor untuk membekukan kelulusan arahan pembangunan pembinaan Langat 2 telah menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek itu dan kemungkinan berlaku krisis bekalan air menjelang 2014.

Berikutan rundingan pelaksanaan projek Langat 2 hampir menemui jalan buntu, beliau menggesa kerajaan negeri Selangor agar tidak mengaitkan penstrukturan semula industri bekalan air dalam perbincangan pembinaan projek Langat 2.

"Terlalu banyak isu akan menjadi halangan kalau kedua-dua isu (penstrukturan semula industri bekalan air dan pembinaan projek Langat 2) dikaitkan. Jangan kaitkan kedua-dua isu.

"Kita tidak dapat membina Langat 2 dan memastikan terdapat bekalan air mencukupi menjelang 2014. Pada masa yang sama, kami akan meneruskan dan memuktamadkan rundingan," katanya.

Antara isu yang menjadi halangan termasuk kes Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menyaman kerajaan negeri Selangor dimana Chin telah menerima perintah sapina menjadi saksi kes tersebut pada 24 Oktober ini.

Chin berkata Selangor dijangka akan mengalami defisit bekalan air menjelang tahun 2014 apabila permintaan bekalan air adalah lebih tinggi daripada kapasiti bekalan air yang ada, sekiranya tiada langkah segera diambil untuk menanganinya.

Berdasarkan unjuran permintaan dan pembekalan air di Selangor sehingga Julai tahun ini, beliau berkata bekalan air di Selangor sekitar 4,122 juta liter sehari(JLH) berbanding kapasiti yang ada iaitu sebanyak 4,326 JLH, iaitu tahap simpanan hanya 1,204 JLH atau 4.7 peratus sahaja. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain