suria

Jemaah Tidak Lagi Hadapi Masalah Walaupun Jumlah Pengeluaran Wang Di Tanah Suci Dihadkan

MEKAH: Rata-rata jemaah haji yang ditemui di kaunter kewangan Tabung Haji di sini pada Selasa, berkata mereka tidak menghadapi masalah mengeluarkan wang simpanan mereka walaupun jumlah tunai maksimum dihadkan kepada 500 Riyal sehari sejak beberapa hari lepas.

"Cuma saya minta kalau dapat tolong beri maklumat (mengenai had pengeluaran) lebih awal supaya perbelanjaan jemaah di sini boleh dikawal dengan lebih baik dan teratur," kata Othman Talib, 40-an, seorang jemaah haji yang ditemui di kaunter kewangan di sini.

Bagaimanapun, menurutnya, secara peribadi beliau tidak menghadapi masalah cuma pada mulanya beliau merasa bimbang dan agak kelam kabut apabila mengetahui jumlah pengeluaran dihadkan.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberitahu pemberita di Kuala Lumpur bahawa masalah itu timbul ekoran langkah kerajaan Arab Saudi yang mengehadkan pengeluaran wang oleh jemaah bagi mengelak kejadian "pengubahan wang haram".

Seorang lagi jemaah haji yang ditemui di sini, Fatiah Abdul Manan, 30-an pula berkata beliau tidak perlu berbelanja banyak kerana segalanya sudah disediakan, dan bayaran dam serta korban boleh ditolak daripada akaun Tabung Haji.

"Bagi saya had pengeluaran 500 Riyal sehari tidak banyak masalah. Cuma di Madinah beberapa hari lepas, sesak sikit, petugas (kewangan) tak ramai, tapi saya pun tak perlu sangat wang banyak sebab segala keperluan saya dah beli semasa di Terengganu dulu, semua dah ada," katanya.

Tinjauan di kaunter kewangan Tabung Haji di sini sejak malam tadi mendapati keadaan tidak lagi sesak sebagimana beberapa hari lepas, dan sejak semalam jemaah haji dimaklumkan bahawa had pengeluaran dinaikkan daripada 500 Riyal kepada 1,000 riyal. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain