suria

Hamba Seks: 21 Wanita Warga Uganda Diselamatkan

KUALA LUMPUR: Polis berjaya membanteras kegiatan pemerdagangan manusia apabila menyelamatkan kira-kira 21 wanita warga Uganda yang dijadikan hamba seks di ibu negara dan China dalam satu serbuan.

Mangsa tersebut yang rata-ratanya berusia sekitar awal 20-an dikurung oleh sekumpulan sindiket yang memaksa mereka bekerja 10 jam sehari sejak tiga bulan lalu.

Sekumpulan wanita itu disembunyikan di dalam empat unit pangsapuri Mentari Court di Bandar Sunway.

Beberapa ahli sindiket itu akan memukul dan merogol wanita terbabit sekiranya mereka enggan bekerja seperti diarahkan.

Setiap pelanggan akan dikenakan bayaran sebanyak RM300 semalam untuk bersama wanita pilihan mereka.

Bagaimanapun, mimpi ngeri sekumpulan wanita itu berakhir pada 10.30 pagi, Jumaat apabila polis dari Bukit Aman menyerbu permit tersebut dan menyelamatkan mangsa yang berusia sekitar 18 hingga 42 tahun.

Dua wanita berusia dalam awal 40-an yang dipercayai bersubahat dengan sindiket itu turut ditangkap bersama dengan seorang pelanggan warga Afrika.

Serbuan itu dilakukan selepas menerima laporan daripada mangsa yang menceritakan pengalaman pahitnya kepada seorang pegawai di sebuah kedutaan.

Pegawai itu dipercayai menyamar sebagai pelanggan dan menempah seorang wanita berusia 20 tahun sebelum membawanya keluar.

Kesemua mangsa ditempatkan di rumah kebajikan sebelum dihantar pulang sebaik saja siasatan selesai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, polis telah memantau pangsapuri tersebut sebelum melakukan serbuan.

"Mereka dipaksa untuk menjadi hamba seks. Jika mereka mahu dibebaskan daripada sindiket itu, mereka perlu membayar hutang pengabdian sebanyak AS$7,000 (RM22,000)," katanya.

Walaupun kesemua mangsa memperoleh pendapatan mencukupi menerusi pekerjaan itu untuk membayar hutang tersebut, ahli sindiket dilaporkan enggan membebaskan mereka.

"Seorang wanita dari Kampala telah dijanjikan tawaran bekerja di sebuah hotel, peluang melanjutkan pelajaran di kolej dan bekerja sebagai pembantu rumah dengan bayaran sebanyak Rm3,100," katanya.

Mohd Bakri berkata, sekumpulan wanita tersebut menerima tawaran itu kerana dibekalkan dengan pasport dan tiket penerbangan secara percuma.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain