suria

Bekas ADUN Sanggang Meninggal Dunia Di HKL

TEMERLOH: Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanggang (kini dikenali sebagai DUN Kerdau), Datuk Abdul Halim Mohd Seth, 64, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 9.05 malam tadi akibat komplikasi jangkitan paru-paru dan buah pinggang.

Menurut bekas anggota DUN Kerdau, Datuk Ridzuan Harun, Allahyarham Abdul Halim meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas dimasukan ke hospital itu sejak lima hari lepas.

Allahyarham pernah menjadi wakil rakyat DUN Sanggang selama sepenggal dari tahun 1986 sehingga 1990.

"Jenazah akan disemadikan hari ini bersebelahan kubur ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Bangau Tanjung selepas sembahyang zuhur," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Abdul Halim meninggalkan seorang balu, Hasanah Putih, 53, dan empat anak yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.

Allahyarham juga merupakan adik kepada bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahya Mohd Seth.

Beliau juga pernah menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Mentakab selama sepenggal sebelum bahagian tersebut ditukar menjadi UMNO Bahagian Temerloh.

"Beliau adalah seorang wakil rakyat yang baik dan sentiasa prihatin terhadap pengundi terutamanya mereka di DUN Sanggang yang kini telah dikenali sebagai DU NKerdau setelah berlaku persempadanan semula DUN tersebut pada tahun 2004," kata Ridzuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain