suria

Balu Anggota Polis Pengiring PM Terima Cek Sumbangan RM103,000

KUALA LUMPUR: Polis Kontinjen Kuala Lumpur menyampaikan cek bantuan bernilai RM103,000 kepada balu Allahyarham Sarjan Ibrahim Mat Husin, anggota polis pengiring bermotosikal yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 29 Sept lepas.

Ia disampaikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh kepada Fakhriah Abdul Raof, 41, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Isnin.

"Saya bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan ini. Ia dapat membantu menampung perbelanjaan anak-anak serta perbelanjaan harian kami," kata ibu kepada tiga anak lelaki berumur antara 14 dan 19 tahun itu.

Ibrahim, 51, anggota polis pengiring kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 2009, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu sesak nafas, dan dikebumikan di kampung halamannya di Parit Buntar, Perak.

Dalam ucapannya, Mohmad berkata majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia terhadap bakti arwah kepada masyarakat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain