suria

ATM Siap Siaga Bantu Thailand Tangani Banjir

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi membantu Thailand yang dilanda banjir sekiranya negara itu memerlukan khidmat tentera Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ATM akan menghulurkan bantuan terutamanya dari segi peralatan bantuan banjir dan operasi menyelamat jika diminta oleh kerajaan Thailand.

"Sebelum ini saya telah pun menawarkan khidmat bantuan kepada Thailand," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 1Malaysia dan Ketahanan Nasional anjuran Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) di sini Selasa.

Kira-kira satu pertiga daripada Thailand masih digenangi air banjir, dengan sejumlah 2.3 juta penduduk dari lebih 10,000 kampung di 24 wilayah di kawasan utara dan tengah terjejas akibat banjir yang melanda negara itu secara berperingkat mulai 25 Julai lepas.

Lebih 900 kilang yang mempunyai 200,000 pekerja terjejas akibat dilanda banjir yang turut meragut 300 nyawa.

Mengenai Briged Sukarela Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan ditubuhkan dalam tempoh tiga bulan lagi, Ahmad Zahid berkata penubuhan briged itu bakal memberi sumbangan besar kepada negara.

"Kewujudan briged ini dilihat sebagai aset yang akan memberi sumbangan kepada negara. Ia bukan sekadar membantu kerja-kerja khidmat sosial, tetapi lebih daripada itu yang turut menjurus dalam memberi bantuan ketika negara menghadapi bencana.

"Dalam tempoh lapan tahun lepas iaitu sejak PLKN diperkenalkan pada 2004, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM5 bilion. Jadi bila program ini diwujudkan secara tidak langsung alumni PLKN (bekas pelatih) akan turut mengformulasi modul yang dipelajari semasa menyertai program (PLKN) itu," katanya.

Beliau berkata setiap kem PLKN di seluruh negara turut dijadikan sebagai pejabat seketariat alumni PLKN bagi mengendalikan briged itu.

Pada 14 Okt lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan pameran 'Kami Anak 1Malaysia' mengumumkan kerajaan akan mewujudkan Briged Sukarela PLKN.

Najib berkata briged itu boleh digunakan bagi membantu dalam kejadian malapetaka atau bencana alam seperti banjir, tanah runtuh atau kebakaran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain