suria

Amaran Agar Peniaga Tidak Campur Daging Kambing dan Daging Lembu

GEORGETOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pulau Pinang memberi amaran kepada peniaga daging kambing di negeri itu agar tidak mencampurkannya dengan daging lembu atau daging kambing import untuk memperdaya pengguna.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya M.Guna Selan berkata pihaknya mendapat aduan daripada orang ramai berhubung tindakan peniaga yang cuba mengaut keuntungan berlebihan dengan mencampurkan daging-daging berkenaan.

Katanya daging kambing tempatan berharga antara RM33 dan RM35 sekilogram manakala harga daging kambing import ialah antara RM24 dan RM25.

"Kita harap peniaga tidak mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan dengan mencampurkan daging-daging berkenaan menjelang Deepavali ini memandangkan permintaan bagi daging kambing meningkat," katanya kepada Bernama selepas melakukan tinjauan di Pasar Chowrasta di sini Selasa.

Guna Selan berkata tinjauan hari ini di beberapa pasar bagaimanapun mendapati tiada peniaga yang mencampurkan daging kambing tempatan dengan daging lembu atau daging kambing import.

Katanya mana-mana peniaga yang didapati bersalah menjual daging kambing yang dicampur boleh dikenakan tindakan menurut Akta Perihal Dagangan 1972 iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain