suria

PM Tunai Janji Lulus RM150,000 Bayar Tapak Teksi

PASIR PUTEH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menepati janjinya apabila meluluskan peruntukan segera RM150,000 bagi membantu menyelesaikan masalah mendapatkan tapak stesen kereta sewa Pasir Puteh.

Cek itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh Zawawi Othman kepada Pengerusi Persatuan Pemandu Kereta Sewa Pasir Puteh Abdul Rahman Samat di perkarangan stesen itu, Ahad.

"Ini menunjukkan kerajaan pusat tidak pernah memungkiri janji dan amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh segenap lapisan rakyat," kata Zawawi ketika berucap pada majlis penyerahan cek itu di sini, Ahad.

Ketika lawatan ke stesen itu semasa siri lawatan ke Parlimen Pasir Puteh 2 Julai lepas, Najib yang juga Menteri Kewangan berjanji akan cuba menyelesaikan masalah mendapatkan tapak stesen kereta sewa itu.

Sebelum itu, pihak persatuan itu diarah mencari lokasi lain oleh Perbadanan Kemajuan Ikhtisad Negeri Kelantan (PKINK) kerana kawasan itu akan dibangunkan dengan projek pembangunan komersil.

Zawawi, yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, berkata jika kerajaan negeri pimpinan PAS berniat ikhlas untuk membantu rakyat miskin, sepatutnya tapak itu diberi percuma kepada persatuan bagi meringankan beban pemandu kereta sewa yang menganggotai persatuan itu.

Sumbangan kerajaan pusat itu sepatutnya boleh digunakan bagi tujuan lain untuk membangunkan taraf hidup anggota persatuan dengan projek-projek ekonomi seperti membuka kedai runcit di kawasan tapak berkenaan, katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata pihak persatuan berterima kasih kepada Najib kerana membantu persatuan mendapatkan tapak seluas 3,760 kaki persegi itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain