suria

PFM Janganlah Nak Tuding Jari

Shuhaimi Baba (dua dari kanan) bersama ahli-ahli PFM.
Shuhaimi Baba (dua dari kanan) bersama ahli-ahli PFM.
Shuhaimi Baba (dua dari kanan) bersama ahli-ahli PFM.

SAYA tepuk dahi apabila diberitahu salah satu inti pati Diskusi Isu Filem Seram yang diadakan oleh Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) pada Rabu lalu (12 Oktober 2011) turut menyalahkan pihak media.

Dalam diskusi itu, Presiden PFM, Datin Paduka Shuhaimi Baba dilaporkan menuding jari kepada media kerana memberi publisiti keterlaluan terhadap filem seram menyebabkan isu berkenaan kecoh termasuklah ditegur oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebenarnya semua orang berhak memberi pandangan dan pendapat. Begitu juga dalam isu filem seram. Kerana pendapat dan kritikan itulah yang mampu untuk membantu kita memperbaiki kelemahan masing-masing.

Dalam menghadapi teguran dan kritikan pelbagai pihak mengenai filem seram, sepatutnya PFM mencari jalan bagaimana untuk meyakinkan orang ramai genre sebegini tidak mempengaruhi minda masyarakat supaya menjadi umat yang lemah.

Dan bukannya mengambil pendekatan menyalahkan orang lain. Untuk makluman semua ahli PFM, peranan media adalah untuk membantu industri perfileman dengan memberikan publisiti bagi menarik orang ramai menonton filem di pawagam.

Ia selaras dengan saranan kerajaan untuk merakyatkan filem tempatan. Kami pihak media memahami, penerbit-penerbit kita bukannya kaya. Mereka membikin filem dengan meminjam dana daripada bank.

Atas sebab itu setiap kali filem-filem baru dihasilkan, maka kebanyakan media di negara ini memberikan publisiti melebihi daripada yang diharapkan. Malah langkah itu dituntut oleh ahli-ahli PFM sendiri. Publisiti percuma siapa yang tidak mahu bukan?

Dan tahukah pihak PFM, saya sendiri mendapat SMS daripada orang-orang PFM yang meminta publisiti untuk filem mereka.

Malah untuk filem Hantu Bonceng saja, boleh dikatakan setiap masa wakil syarikat produksi filem itu menghantar SMS bagi memaklumkan jumlah terkini kutipan filem tersebut dengan harapan ia dapat diberi publisiti bagi mempengaruhi penonton untuk ke panggung.

Perbuatan itu adalah salah satu contoh selama ini penerbit-penerbit filem sebenarnya terlalu hadapkan publisiti percuma daripada media.

Dan apabila isu ini diperdebatkan, PFM pula menyalahkan pihak media. Saya ingin bertanya kepada Shuhaimi dan orang-orang Shuhaimi sendiri.

Selama ini media memberi banyak publisiti untuk mengangkat industri hiburan tempatan. Tetapi apakah sumbangan orang-orang seni dan PFM terhadap pihak media?

Saya bukan nak mengungkit. Adakah dengan memanggil wartawan ke majlis berbuka puasa, jamuan makan pada majlis Hari Raya adalah sumbangan besar penerbit filem kepada media?

Malah saya percaya produser yang dapat mengutip keuntungan jutaan ringgit hasil filem-filem mereka hanya membelanjakan sedikit sahaja wang bagi membeli iklan di akhbar. Itu pun tak semua akhbar.

Cuma akhbar-akhbar terpilih sahaja. Tetapi pihak media tidak pernah mempersoalkan tindakan itu kerana kami memahami hanya segelintir sahaja produser filem kita menghasilkan filem menggunakan wang daripada poket sendiri tetapi kebanyakannya meminjam dengan bank.

Atas tujuan itulah media memberi publisiti yang seterusnya telah menjimatkan duit poket saudara-saudari.

Tapi sekiranya budi baik itu dipandang daripada sudut yang negatif, ia memperlihatkan bagaimana ceteknya pemikiran orang dalam industri.

Ketika isu filem seram diperkatakan, PFM seharusnya mengambil langkah drastik mempertahankan diri bagi memastikan masyarakat faham kenapa filem genre berkenaan dihasilkan dalam konteks dunia perfileman di negara ini yang terikat dengan pelbagai peraturan yang tidak masuk akal.

Dan PFM juga wajar mencari jalan adakah genre seram perlu terus dihasilkan ataupun ditamatkan untuk mencari satu genre filem baru yang mampu membuka minda masyarakat sebagaimana yang diinginkan oleh pelbagai pihak.

Mengambil pendekatan menuding jadi bukan satu jalan yang baik apatah lagi kepada pihak yang membantu untuk melihat industri perfileman terus berkembang dan sekali gus dapat menjana pendapatan pekerja dalam industri perfileman itu sendiri.

Saya percaya kerana sikap tuding jari itulah isu melibatkan persatuan-persatuan artis menjadi semakin berceramuk sebagaimana isu ketidaksepakatan PFM dengan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) seperti yang berlaku pada hari ini. Renung-renungkanlah.

NIEZAM: Apa jadi dengan persatuan artis yang asyik bertelagah?

Artikel Berikut

Artikel Lain