suria

Pertikai Titah Sultan: SKMM Rekod Kenyataan Aziz Bari

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) pada Isnin memulakan siasatan terhadap pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Profesor Dr Abdul Aziz Bari dipercayai ekoran tindakannya mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) baru-baru ini.

"Seorang pegawai SKMM telah datang menemui saya di pejabat saya di Gombak pukul 10.30 tadi.

"Mereka ambil kenyataan tentang titah diraja. Saya tiada masalah mengenainya. Mereka kata ada laporan di buat terhadap saya Jumaat lepas,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara yang direkodkan oleh SKMM ketika siasatan dijalankan.

Difahamkan sesi merekodkan kenyataan Abdul Aziz selesai dua jam kemudian.

Abdul Aziz dipetik sebagai berkata oleh sebuah portal baru-baru ini, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja itu bukan sesuatu yang lazim selain menyifatkannya sebagai tidak konsisten.

Minggu lalu, Sultan Sharafuddin bertitah tiada pendakwaan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak dalam isu pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais pada Majlis Malam 'Thanksgiving' di DUMC Ogos lalu.

Baginda bertitah keputusan tersebut diambil selepas meneliti laporan Jais serta mendengar nasihat pakar agama serta pakar udang-undang.

Bagaimanapun baginda menitahkan Jais memberi kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan.

Artikel Berikut

Artikel Lain