suria

Penerima Bantuan NKRA Wajib Buat Aku Janji Elak Seleweng

KANGAR: Peniaga kecil yang menerima bantuan peralatan niaga melalui peruntukan Bidang Keberhasilan Utama Negara diwajibkan berikrar dan membuat akujanji bahawa bantuan akan dimanfaatkan untuk menjadi peniaga yang berdaya maju.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata kerajaan menyalurkan sumbangan yang besar untuk membantu mereka dan sewajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Bagi memastikan bantuan peralatan itu digunakan secara yang betul, mereka mesti mematuhi ikrar dan akujanji yang telah dimeterai," katanya kepada pemberita selepas majlis ikrar dan menandatangani akujanji membabitkan lebih 200 penerima bantuan itu, di sini malam Ahad.

Beliau turut mengingatkan mereka bahawa bantuan akan ditarik balik jika tidak digunakan untuk tujuan yang betul.

Untuk bantuan pusingan pertama ini, kerajaan memperuntukkan RM1.6 juta bagi membantu peniaga kecil meningkatkan perniagaan mereka yang disampaikan kepada penerima dalam beberapa siri.

Pada majlis itu Shahidan turut melancarkan penubuhan Koperasi Peniaga Baru Berhad yang dianggotai penerima bantuan terbabit, yang antara lain bertujuan menjana pendapatan lebih besar untuk mereka. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain