suria

Pembinaan Aerobridge Bergantung Kepada Keperluan Syarikat Penerbangan: Jelaing

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengangkutan, Jelaing Mersat menegaskan keputusan untuk membina jentas bergerak (aerobridge) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) hanya bergantung kepada keperluan syarikat penerbangan.

"Aerobridge akan dibina sekiranya syarikat penerbangan ingin menggunakannya bagi mengelakkan ia tidak digunakan sepenuhnya," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim yang ingin mengetahui sama ada kementerian akan meluluskan pembinaan aerobridge di KLIA 2.

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan pembinaa aerobridge di KLIA 2 masih diperingkat penelitian dan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) telah memperuntukkan ruang untuk pemasangan aerobridge sekiranya syarikat penerbangan ingin menggunakannya nanti.

"Kerajaan mengambil berat akan pandangan umum berhubung keperluan pembinaan aerobridge. Perkara itu telah dipanjangkan ke MAHB," tambahnya.

Menurut Jelaing, pembinaan 80 buah aerobridge di KLIA 2 dianggarkan bernilai RM132 juta.

Ketika mengulas sama ada kementerian membenarkan MAHB menaikkan kutipan yuran bagi penumpang kapal terbang kos rendah, beliau berkata, perkara itu dipersetujui sekiranya ia setaraf dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.

Artikel Berikut

Artikel Lain