suria

Pakatan Rakyat Minta Penjelasan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat pada Isnin menuntut penjelasan daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berhubung punca kelewatan pengedaran laporan audit daripada Jawatankuasa Kira-Kira Negara kepada Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, kelewatan itu perlu dipandang serius kerana mereka masih belum menerima laporan audit walaupun belanjawan 2012 sudah dibentangkan sejak Jumaat lalu.

"Oleh itu, Ketua Audit Negara perlu memberi penjelasan berhubung kelewatan itu kerana Yang di-Pertua Speaker telah menyatakan Parlimen masih menunggu laporan itu untuk diedarkan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Isnin.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS turut membangkitkan persoalan sama ada laporan itu belum sedia diedarkan atau wujud sebarang percubaan untuk menghalang ia daripada diterima Ahli Parlimen.

"Kita hairan kerana sebelum ini, laporan audit diedar semasa belanjawan dibentangkan.

"Namun kali ini agak berbeza dan kami mahukan penjelasan. Jika tidak kami akan memikirkan tindakan yang akan dilakukan ketika mesyuarat Pakatan Rakyat esok," katanya.

Terdahulu, Salahudin dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan kelewatan pengedaran laporan tersebut di Dewan Rakyat pada Isnin.

Yang Di-Pertuan Sepaker, Datuk Ronald Kiandee memberitahu bahawa beliau akan memaklumkan perkara itu kepada menteri bertanggungjawab pada sesi penggulungan Dewan Rakyat kali ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain