suria

Miliki Dadah: Pencuci Kereta Terlepas Tali Gantung

SHAH ALAM: Seorang pencuci kereta terlepas daripada hukuman gantung apabila mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, Isnin atas pertuduhan pilihan memiliki dadah, tahun lepas.

Hakim Datuk Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali terhadap Rosli Ithnin, 27, selepas lelaki itu mengaku bersalah memiliki 379 gram kanabis, pada Jun tahun lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan stesen minyak Shell, Taman Seri Manja, Petaling Jaya, dekat sini, pada pukul 7.30 malam, 11 Jun, 2010.

Pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Rosli sebelum ini menghadapi tuduhan mengedar di bawah Seksyen 39B akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Hakim Mariah memerintahkan Rosli menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 11 Jun tahun lepas.

Mengikut fakta kes, kereta dipandu Rosli ditahan dalam satu sekatan jalan raya dan ketika diarah keluar dari kereta, tertuduh enggan berbuat demikian.

Pihak polis kemudian bertindak memecahkan tingkap kereta dan ternampak sebuah bungkusan tertulis 'Nokia and Sony Ericsson' berada di celah peha tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ridha Abdah Subri manakala tertuduh diwakili peguam Richard Ho. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain