suria

Kualiti Perkhidmatan Pakej Haji Sentiasa Dipantau

MEKAH: Tabung Haji sentiasa memantau kualiti perkhidmatan disediakan oleh syarikat-syarikat pengendali program "pakej haji" bagi memastikan mereka mengotakan janji khidmat bermutu kepada jemaah. Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji Tabung Haji Mat Admara Alang Azizdin berkata tahun lepas dua syarikat pengendali jemaah haji dikenakan tindakan kerana bangunan penginapan yang dijanjikan tidak dapat disediakan pada masanya, manakala satu lagi kerana jarak penginapan jemaah dengan masjid tidak sedekat yang diuar-uarkan.

Beliau berkata Tabung Haji memandang serius perkara itu kerana ia turut membabitkan imej negara, dan menurutnya pada tahun sebelumnya dua syarikat pakej haji dibatalkan permit serta lesen mereka atas pelbagai sebab.

Menurutnya antara tindakan yang dikenakan kepada syarikat-syarikat bermasalah ialah dikenakan amaran, denda antara RM5,000 dan RM30,00, dan permit ditamatkan, bergantung kepada keseriusan kesalahan. "Tahun lepas 24 syarikat diberi lesen mengendalikan pakej haji, manakala tahun ini jumlahnya bertambah menjadi 27 syarikat," katanya dalam satu persidangan dengan kumpulan pemberita Tabung Haji di sini hari ini. Beliau berkata satu pasukan 12 petugas Tabung Haji diberi tanggungjawab memantau perkhidmatan syarikat-syarikat ini sejak ketibaan jemaah haji di lapangan terbang, sehingga selesai ibadah haji.

Sementara itu Mat Admara berkata antara kelebihan program "pakej haji" ialah ia menyediakan penginapan yang lebih dekat dengan Masjidil Haram; nisbah petugas dengan jemaah adalah lebih tinggi; khemah lebih selesa di Arafah dan Mina; manakala hidangan makan tiga kali sehari disediakan secara bufet dengan minuman 24 jam sehari.

Menurutnya jarak antara masjid dengan penginapan jemaah haji yang disediakan oleh syarikat pakej haji ialah antara 30 meter dan 750 meter, manakala nisbah petugas dengan jemaah adalah 1:80 berbanding nisbah 1:kira-kira 200 orang bagi jemaah haji muasassah.

Katanya bayaran pakej haji paling rendah ialah RM17,000 manakala paling tinggi menjangkau lebih RM100,000. Dari segi penambahbaikan, Admara berkata tahun ini syarikat-syarikat pengendali pakej haji boleh menghantar terus nama-nama pelanggan mereka kepada Tabung Haji secara dalam talian.

Selain itu menurutnya tahun ini jemaah di bawah program ini boleh mendapat maklumat mengenai nombor bilik di penginapan masing-masing, sejam sebelum mereka berlepas ke destinasi penginapan di Mekah mahupun Madinah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain