suria

Jaga tapi tidur

Jaga tapi tidur

PADA masa dahulu, orang tidak kenal dengan istilah pengawal keselamatan atau pengawal. Gelaran yang diberi ialah ‘jaga’ atau ‘penjaga’. Menurut Kamus Dewan ‘jaga’ bermaksud “tidak tidur” atau “kawal/awasi” malah Kamus Dewan juga mentafsirkan istilah ‘jaga’ sebagai “orang yang berkawal (mengawas)”.

Contoh ayat ialah seperti berikut, Seorang jaga tercegat di depan bank itu. Namun seperti mana yang penulis tegasnya, hari ini mereka tidak lagi dipanggil ‘jaga’.

Sebaliknya mereka digelar pengawal keselamatan atau pengawal sahaja. Maka atas sebab itulah kadang-kala kita dapati walaupun tugas mereka sepatutnya berjaga atau berkawal tetapi mereka didapati sedang tidur.

Ini telah disaksikan sendiri oleh penulis minggu lalu ketika lalu di sebuah kawasan rumah kedai di Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Kawan penulis bernama Kadri yang sedang duduk di sebelah berkata; “Tu lihat tu...dua jaga sedang tidur...lawak betul. Jaga mana boleh tidur...nama pun jaga tapi ni tidur.”

Ketika penulis menoleh tengok memang betul dua orang pengawal keselamatan sedang nyenyak tidur di hadapan premis yang sepatutnya mereka jaga.

Jika inilah keadaannya, wajarkah mereka digelar ‘jaga’ sedangkan mereka sedang ‘tidur’ pada waktu yang mereka sepatutnya ‘berjaga’.

Kisah nasi daun pisang...

Pada asalnya, hidangan nasi daun pisang seperti mana juga nasi kandar adalah makanan untuk golongan marhaen atau rakyat jelata. Tradisi makan di atas daun pisang ini dibawa oleh etnik dari wilayah Selatan India ke negara kita.

Menurut seorang sahabat penulis yang pernah ke Kerala, Selatan India, dia melihat di sana juga orang kebanyakan masih lagi meneruskan tradisi makan di atas daun pisang.

Dan ketika dia bertanya bagaimanakah tradisi ini bermula, masyarakat di sana memberitahu pertama adalah kerana kemiskinan kedua kerana pokok pisang wujud di mana-mana.

Orang biasa tidak mampu memiliki pinggan. Tetapi oleh kerana pokok pisang tumbuh di merata-rata tempat, akhirnya daun pisang bertukar ganti menjadi alas makan masyarakat di sana.

Apabila masyarakat India berhijrah ke Malaysia, mereka turut meneruskan tradisi ini kerana di negara kita juga, seperti mana di India, daun pisang boleh ditemui di mana-mana secara percuma.

Hari ini, kita akan dapati, restoran nasi daun pisang ada di mana-mana sebagai penerus kepada tradisi yang dibawa oleh masyarakat sebelumnya.

Namun begitu, apabila tradisi ini mula diminati oleh mereka yang berkereta Mercedes dan juga BMW, kita kini dapati, hidangan nasi daun pisang tidak boleh lagi disifatkan sebagai hidangan untuk golongan marhaen.

Malah di sesetengah restoran, harga untuk menikmati nasi di atas daun pisang adalah di luar imaginasi kita kerana terlalu mahal sehingga boleh menyebabkan kita tertanya-tanya wajarkah ia dicaj sebegitu.

Beberapa hari yang lalu ketika berada di Petaling Jaya sementara menunggu temu janji dengan doktor, penulis telah singgah sebentar di sebuah restoran daun pisang.

Seorang lelaki tua yang kelihatan seperti baru baru tiba dari kampung telah terbaca papan tanda “restoran nasi daun pisang” yang terpampang di atasnya. Dia mungkin beranggapan restoran ini adalah untuk golongan marhaen sepertinya tetapi pada masa yang sama dia memerhati dengan penuh kehairanan mengapa mereka yang turun dari BMW dan Mercedes turut masuk untuk menjamu selera di situ.

Sangkaan baiknya ialah mereka juga mungkin lapar sepertinya atau ingin berjimat cermat lalu dia dengan segera masuk dan sebaik sahaja dia duduk tanpa sempat memesan apa-apa lagi dia telah didatangi oleh pelayan-pelayan bertopi putih seperti songkok lalu meletak daun pisang sebagai alas.

Kemudian datang seorang lagi pelayan lalu menghidangkan nasi dan selepas itu seorang pelayan yang lain pula datang lalu meletakkan pelbagai jenis kari, dal dan kemudian bertanya kepada orang tua itu dia hendak sayur apa.

Orang tua itu menunjuk ke arah sayur bayam cincang tanpa berkata apa-apa. Dia lalu meminta sebiji telur rebus. Dia berasa seronok kerana tanpa memesan apa-apa mereka seperti sudah tahu apa yang hendak dimakannya.

Sebaik sahaja selesai makan dia bangun untuk bayar. Dan sebaik sahaja dia dihulurkan bil dia seperti hendak percaya dengan tidak akan apa yang tertera di atas kertas bilnya;

Nasi putih + kari + dal + bayam + tiga keping papadom (tanpa ikan atau ayam) = RM6.70 telur rebus = RM1.50 dan ais kosong = 30 sen.

“Mak aih! Kalau aku ambil ayam atau ikan tadi entah berapa pulak restoran ni nanti suruh aku bayar...,” kata orang tua tadi pada dirinya sendiri. Kesian penulis melihatnya.

Lalu dia pun bertanya kenapa hanya makan nasi kosong, sayur dan telur rebus cajnya terlalu tinggi malah ais kosong pun dicaj 30 sen sedangkan di tempatnya ais kosong cuma 10 sen atau mungkin sahaja percuma.

Orang yang menjaga kaunter itu yang merupakan seorang pekerja asing dari benua India tidak tahu hendak memberi jawapan apa melainkan berkata: “Mercedes!... Mercedes!... BMW!... BMW!...”

Artikel Berikut

Artikel Lain