suria

Polis Bantuan KTMB Ditahan Simpan Pistol Palsu

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad ditahan kerana menyimpan sepucuk pistol tiruan dan satu kelopak palsu dalam operasi di sebuah pusat hiburan, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata pistol dan kelopak palsu itu ditemui di dalam kereta lelaki tersebut selepas polis curiga dengan tindak-tanduknya yang cuba melarikan diri ketika pusat hiburan tersebut diserbu.

Mengulas kes itu kepada pemberita, di sini, Ahad, Zakaria berkata ketika lelaki itu cuba melarikan diri, sebutir peluru terjatuh dari poketnya menyebabkan dia ditahan oleh pasukan polis yang melakukan serbuan.

Dia yang berusia lingkungan 20an kemudian mengaku anggota polis bantuan yang tidak bertugas, dan selepas diperiksa polis menemui sepucuk revolver 1.38 dan 10 butir peluru.

"Selepas itu, polis telah memeriksa keretanya dan menemui pula sepucuk pistol tiruan jenis auto bersama satu magazine palsu," katanya.

Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 , kata Zakaria yang ditemui selepas pelancaran pusat operasi 'Community Policing' di Dataran Pangsamurni Titiwangsa, Keramat Jaya 2 di sini.

Mengenai program kepolisan komuniti itu, Zakaria berkata penubuhannya bagi membolehkan penduduk sekitar menyampaikan maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis.

Penubuhan pusat itu juga atas inisiatif penduduk setempat selepas beberapa kes jenayah berlaku di kawasan tersebut termasuk kes anak pelakon Norlia Ghani yang maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh pangsapuri ketika cuba menangkap pencuri dua tahun lalu.

"Pangsapuri yang telah wujud sejak 10 tahun lepas dan mempunyai kira-kira 2,000 penghuni itu bagaimanapun tidak merekodkan sebarang kes jenayah yang besar," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain