suria

Pakatan Rakyat Sambut Baik Keputusan PM Mansuh ISA

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat pada Jumaat menyambut baik keputusan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malam Khamis.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, tindakan Najib memansuhkan akta yang berusia lebih 50 tahun itu membuktikan kerajaan sedia ada mula akur dengan desakan pakatan rakyat dalam membela nasib dan memperjuangkan hak rakyat.

"Boleh dikatakan ini baru kejayaan awal Pakatan Rakyat. Kita membuktikan betapa pentingnya peranan parti pembangkang dalam memperjuangkan pemansuhan akta itu sehingga ia menjadi kenyataan," katanya kepada mStar Online pada Jumaat.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, akta tersebut sudah tidak lagi relevan untuk diguna pakai pada hari ini.

Ekoran itu, beliau memberitahu, Pakatan Rakyat bersedia menghulurkan tangan terbuka untuk berbincang dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengenai penggubalan undang-undang baru bagi menggantikan akta tersebut.

"BN harus lebih bersikap terbuka...kita boleh duduk semeja, berunding untuk kebaikan bersama dan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, kita harap Najib pelawa kita untuk beri pandangan terbaik," ujarnya.

Pada Khamis, Najib turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Menurutnya, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah supaya ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Muhammad Nur Manuty mengucapkan tahniah kepada Najib di atas tindakan beliau memansuhkan ISA.

Bagaimanapun, Muhammad berkata, di sebalik pemansuhan ISA, penggubalan dua undang-undang baru kelak menunjukkan masih belum ada ruang kebebasan sepenuhnya diberikan kerajaan.

"Jika kerajaan benar-benar jujur, tahanan hendaklah dibebaskan dan Pusat Tahanan Kamunting dan Simpang Renggam perlu ditutup berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Menurut Muhammad setiap individu yang didapat bersalah perlu dihadapkan ke mahkamah, melalui proses pengadilan dan bukannya ditahan tanpa bicara demi kepentingan politik segelintir pemimpin kerajaan semata-mata.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw menyifatkan pemansuhan akta tersebut sebagai langkah wajar walaupun ia sepatutnya dilaksanakan lebih awal.

"Hampir lebih 20 tahun selepas tamatnya perjuangan menentang komunis, barulah akta ini dimansuhkan. Hakikatnya, ia sudah terlambat tetapi langkah itu tepat dilaksanakan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, walaupun ISA dimansuhkan, undang-undang baru perlu digubal bagi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat lebih terjamin.

"Kita juga inginkan penjelasan lebih mendalam sama ada pemimpin dari ideologi politik berbeza tidak akan ditahan jika mengeluarkan sesuatu kenyataan," ujarnya.

Tan memberitahu, transformasi yang dilakukan itu turut dipengaruhi pelbagai faktor termasuk desakan daripada Bersih, pemimpin pakatan rakyat dan suara rakyat yang mahukan sistem politik yang lebih telus dan adil.

"Saya tidak tahu sama ada perubahan itu dilakukan secara jujur atau sebaliknya. Namun, ia mungkin bermotifkan politik," jelasnya.

Selain pemansuhan ISA, kerajaan turut melakukan kajian komprehensif terhadap beberapa undang-undang lain, antaranya Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Polis 1967.

Kira-kira 700 wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kakitangan awam menghadiri acara khas itu, yang diakhiri dengan nyanyian lagu sempena sambutan Hari Malaysia bersama-sama Perdana Menteri pada malam Khamis.

Artikel Sebelum

Artikel Lain